Menteri penerbangan India terkejut, arah tindakan segera nahas pesawat Air India di Ahmedabad

Anggota bomba memadamkan kebakaran pesawat tersebut. Foto Agensi
Anggota bomba memadamkan kebakaran pesawat tersebut. Foto Agensi
A
A
A

NEW DELHI– Menteri Penerbangan Awam India, Ram Mohan Naidu Kinjarapu meluahkan rasa terkejut dan dukacita mendalam susulan insiden nahas pesawat Air India yang membawa lebih 200 penumpang dan kru di bandar Ahmedabad, barat India, pada Khamis.

Menurut beliau, pihak kementerian kini sedang memantau secara langsung perkembangan insiden tersebut dan semua agensi penerbangan serta pasukan kecemasan telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan mangsa.

"Saya amat terkejut dan hancur hati dengan berita nahas ini. Fikiran dan doa saya bersama semua yang berada dalam pesawat malang itu serta keluarga mereka yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis.

Ram Mohan Naidu Kinjarapu
Ram Mohan Naidu Kinjarapu

Tambah beliau, pasukan penyelamat dan perubatan kini sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.

"Pasukan bantuan kecemasan telah digerakkan serta-merta. Segala usaha sedang dilakukan untuk memastikan bantuan perubatan dan sokongan psikologi dihantar tanpa berlengah ke tapak nahas," ujarnya lagi.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa beliau sendiri memantau setiap perkembangan insiden tersebut dari pusat kawalan kementerian dan akan memastikan segala keperluan bantuan dipenuhi dengan kadar segera.

Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi mengenai jumlah mangsa yang terkorban atau terselamat dalam insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pesawat yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Gatwick, London itu dilaporkan terhempas ketika cuba berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad.

Visual yang tular di media sosial menunjukkan serpihan pesawat terbakar dengan asap hitam tebal menjulang ke langit manakala beberapa mangsa dilihat sedang diusung dengan pengusung dan dibawa menaiki ambulans.

Insiden itu kini disiasat sepenuhnya oleh pihak berkuasa penerbangan India serta agensi keselamatan negara.

Pihak Air India turut mengeluarkan kenyataan ringkas memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan dan maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. -Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!