Sindiket pemerdagangan manusia tumpas, agensi ambil duit kerja mangsa

PUTRAJAYA - Dijanjikan peluang pekerjaan, namun gaji yang sepatutnya diterima diserahkan sepenuhnya kepada agensi tanpa persetujuan mangsa.
Nasib malang menimpa beberapa wanita warga asing itu berakhir apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu aktiviti pemerdagangan manusia yang berselindung di sebalik sebuah agensi pekerjaan yang beroperasi di Klang, Selangor, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JIM, Ismail Mokhtar berkata, modus operandi sindiket adalah membawa masuk migran dari negara sumber dengan janji tawaran pekerjaan.

Menurutnya, pihak agensi kemudian akan mengikat mangsa dengan kontrak yang ditandatangani, selain tidak membenarkan mereka pulang ke negara asal serta mewajibkan mereka bekerja dan membayar sejumlah bayaran tinggi yang telah ditetapkan.
“Operasi ini berjaya menyelamatkan sembilan mangsa wanita warga Filipina dan menahan 10 wanita warganegara sama yang berusia antara 26 hingga 43 tahun.
“Mangsa yang diselamatkan disyaki telah dieksploitasi sebagai pembantu rumah, manakala kesemua migran yang ditemui tidak memiliki pasport atau pas lawatan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ismail berkata, semua mangsa diarahkan bekerja secara separuh masa sebagai pembantu rumah bersama beberapa majikan berbeza dengan kadar bayaran harian antara RM70 hingga RM120.
Namun begitu, katanya, gaji yang dibayar majikan telah diserahkan sepenuhnya kepada agensi tanpa diberikan kepada mangsa atau tanpa persetujuan mereka.
Selain itu, mangsa turut dikenakan kawalan ketat seperti pasport dipegang oleh agensi, manakala telefon bimbit disimpan oleh penjaga premis dan hanya diberikan jika perlu.
Dalam serbuan itu, pasukan operasi berjaya menahan seorang wanita tempatan yang disyaki sebagai dalang utama serta dua wanita warga Filipina dipercayai berperanan sebagai penjaga premis.
Pasukan operasi turut menyita satu unit premis yang dipercayai dijadikan lokasi penahanan mangsa, selain beberapa pasport warga Filipina dan Indonesia.

Tambahnya, beberapa unit telefon bimbit turut dirampas kerana dipercayai mengandungi bukti komunikasi penting antara dalang sindiket dan penjaga premis.
Mengulas mengenai serbuan yang dilakukan, beliau memaklumkan bahawa risikan selama dua minggu telah dijalankan sebelum pihaknya menyerbu tiga buah premis berbeza.
“Serbuan dilakukan berdasarkan aduan awam dan hasil risikan yang dijalankan oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
