Johor cipta 33,000 peluang pekerjaan hasil pelaburan tertinggi

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata selain itu, peranan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam menarik pelaburan juga semakin ketara hasil daripada insentif pelaburan yang kompetitif serta kedudukan strategik Johor yang berdekatan Singapura.
"Zon ini menjadi pemangkin utama dalam merancakkan ekonomi dan memperkukuh hubungan perdagangan antarabangsa, sekali gus memberi manfaat kepada empat juta Bangsa Johor," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Semalam, media melaporkan Johor mencatatkan prestasi pelaburan tertinggi di Malaysia bagi suku pertama 2025 dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM30.1 bilion yang menjadikan negeri itu sebagai peneraju utama pelaburan negara.

Onn Hafiz berkata kejayaan itu turut memperkukuh agenda Maju Johor yang memberi tumpuan kepada pembangunan negeri yang makmur dan mampan melalui dasar mesra pelabur serta penyediaan infrastruktur yang lebih baik.
"Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa memberikan sokongan dan nasihat dalam memastikan fokus yang berterusan terhadap pembangunan ekonomi negeri, demi kemajuan dan kesejahteraan Bangsa Johor, " katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Lee Ting Han, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) serta semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan berkenaan.
"Johor akan terus maju sebagai pusat pelaburan bertaraf antarabangsa, memacu pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin masa depan yang lebih cerah untuk Johor. Insya-Allah," tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!