Dua maut kereta dinaiki lapan sekeluarga rempuh lori berhenti 'buang air'

LIPIS - Perjalanan lapan sekeluarga untuk menziarahi ibu saudara di hospital bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kereta yang dinaiki merempuh lori di Kilometer (KM) 37, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat Kampung Chegar Perah, di sini pada Jumaat.
Mangsa, Roslawati Mat Daud, 50, iaitu isteri kepada pemandu kereta serta Aqif Azfar Azman, 6, anak kepada penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kemalangan kira-kira jam 5.30 pagi itu melibatkan kereta jenis Proton Persona dan lori.
Menurutnya, hasil siasatan awal pemandu lori iaitu lelaki berusia 33 tahun bersama kelindan dari Melaka menuju ke Ketereh untuk menghantar perabot.
"Kereta yang dipandu lelaki berusia 45 tahun bersama tujuh ahli keluarga lain dari Klang, Selangor dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu untuk menziarah ibu saudara.

"Apabila sampai di tempat kejadian, lori terbabit telah berhenti di susur jalan kerana pemandu mahu membuang air.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, kanak-kanak lelaki yang maut dipercayai berada di pangkuan bapanya di tempat duduk penumpang hadapan.
"Penumpang belakang iaitu isteri pemandu turut maut akibat kemalangan tersebut.
“Pemandu dan lima lagi ahli keluarga yang turut berada dalam kenderaan tersebut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut," katanya.
Katanya, pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambanhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!