Jururawat maut motosikal rempuh lori, digilis kereta

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Seorang jururawat meninggal dunia apabila motosikal ditunggang melanggar belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan susulan masalah teknikal dihadapi di Lebuhraya Kajang-Silk di sini pada Selasa.
Mangsa, Nurul Ilham Nordin, 29, yang bertugas di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Serdang, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G K Shan Gopal berkata, kejadian kira-kira jam 1 petang itu turut melibatkan dua buah kenderaan lain di Kilometer 28.2 Lebuhraya Kajang-Silk.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Cheras Jaya menghala ke tempat kerja.
"Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah terlanggar belakang sebuah lori tiga tan yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami masalah teknikal.

"Akibat dari pelanggaran itu, mangsa kemudiannya tercampak ke sebelah kanan jalan dan digilis sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang kemudian dilanggar sebuah kereta lain jenis Perodua Alza," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Jelasnya, semua yang terlibat dalam kejadian kemalangan tersebut telah tampil membuat laporan dan memberi keterangan kepada pihak polis.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang atau pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-6488474," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
