Zahiril Adzim tampil hasil luar biasa dalam filem Martabat: Misi Berdarah

SIAPA sangka, Zahiril Adzim yang selama ini sinonim dengan watak-watak berat dan berkesan, kini tampil dengan filem sulung penuh satira dan sindiran manja serta mampu menggeletek penonton.
Martabat: Misi Berdarah bukan filem aksi tipikal yang bergantung pada letupan dan dialog klise. Sebaliknya, ia menyajikan ‘misi’ yang lebih besar membongkar sisi industri seni yang jarang diberi sorotan: dunia penggambaran dari kaca mata mereka yang jarang dipandang, iaitu pelakon ekstra.
Berlatarkan penggambaran sebuah filem dalam filem, naskhah ini bermain dengan dua realiti skrip dan luar skrip.

Penonton disajikan dengan ragam sebenar di lokasi penggambaran - ada pelakon utama yang mudah benar mahu tukar jadual sesuka hati, ada yang profesional dan komited, tidak kurang juga pelakon tambahan yang diam-diam menyimpan cita-cita besar.
Zahiril, yang turut membintangi filem ini, jelas punya kepekaan tinggi dalam menangkap gelagat dunia yang sudah lama digelutinya. Karya pertamanya itu diterjemahkan dengan baik bersama sentuhan pengarah prolifik, Adrian Teh.
Cerita ini terasa dekat bukan kerana ia pernah berlaku, tetapi kerana ia masih berlaku. Dan dalam ketawa yang tak putus-putus, ada realiti yang ditelanjangkan perlahan-lahan.
Menariknya, walaupun membawa tema ‘dalam industri’, filem ini tidak berat. Jalan ceritanya mudah diikuti, dengan sisipan isu semasa seperti penyeludupan beras yang menjadikan naskhah ini tidak sekadar duduk di bawah genre komedi semata-mata, ia menyelitkan komentar sosial tanpa perlu berdiri di podium.

Dan ya filem ini memang kelakar tahap maksima. Pecah perut. Lawaknya bukan jenis terlalu mencuba, ia datang dari masa yang tepat, dialog yang selamba dan situasi yang terlalu ‘kena’ dengan apa yang berlaku dalam realiti.
Lebih manis, Martabat: Misi Berdarah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi filem tempatan pertama yang meletakkan pelakon ekstra dan mereka bergelar kru produksi sebagai bintang utama.

Bukan sekadar gimik, ia satu simbolik tentang peluang, keadilan dan bagaimana setiap watak walau sekecil mana pun punya cerita sendiri yang layak diketengahkan.
Dengan gabungan pelakon seperti Fad Bocey, Shiqin Kamal, Amerul Affendi, Nafiez Zaidi dan termasuk kehadiran cameo yang menghiburkan, filem ini mencipta kekecohan yang menyenangkan di layar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!