Anwar tempelak 'kelompok bebal'

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak yang terus melemparkan tohmahan negatif terhadap kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyifatkannya sebagai 'kelompok bebal'.
Beliau berkata, di sebalik suara-suara negatif, negara terus mencatatkan kejayaan yang membanggakan dengan pertumbuhan ekonomi, peningkatan pelaburan dan penganjuran ASEAN yang menyaksikan sumbangan menyeluruh jentera kerajaan.
Bagaimanapun, menurut beliau, tahap sebenar kemakmuran sesebuah negara diukur melalui kesejahteraan hidup rakyatnya, termasuk akses kepada perumahan, kemudahan hospital, pendidikan di sekolah serta kemampuan menampung kos sara hidup.
“Ini yang cuba ditangani oleh Kerajaan Madani. (Tapi) kita berdepan dengan suara-suara kencang yang negatif terus, bahawa seolah-olah kita ini bercuti dan tidak berbuat apa-apa kerja, termasuk (mengecam) polis tidak menjalankan tugas dengan profesional.
“Jika ada satu dua kes daripada ratus ribu, itulah yang dibesarkan seolah-olah gagal semuanya... ini penyakit kelompok bebal ini,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-90 Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Anwar berkata, beliau amat menghargai komitmen dan kecekapan PDRM dalam mengendalikan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini.
“Saya salute (tabik) Polis Diraja Malaysia, tetapi kadang-kadang rakyat termasuk kelompok bebal ini, dia tidak peduli, dia anggap ini biasa kerana kerja polis. Itu tak betul.
“Pasukan keselamatan China anggap ini antara persiapan dan kecekapan polis yang paling mengagumkan.
“Tuanku Sultan Brunei sebut kepada saya, berpuluh tahun Baginda hadir dalam Sidang Kemuncak ASEAN, ini antara pengurusan kecekapan termasuk keselamatan yang terbaik sepanjang ASEAN,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!