Paras oksigen hampir sifar punca ribuan ikan mati di Bagan Datuk

IPOH – Paras oksigen terlarut yang berada pada tahap hampir sifar dikenal pasti sebagai punca utama kematian ribuan ikan air tawar di Bagan Datuk sebagaimana dilaporkan pada 10 Jun lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Mohd Ghazali A. Manap berkata, siasatan awal mendapati kandungan oksigen terlarut di lokasi terbabit berada pada paras antara 0.4 hingga 0.42 miligram seliter (mg/L), iaitu kadar yang terlalu rendah dan tidak memungkinkan ikan untuk terus hidup.
"Pemantauan awal mendapati kira-kira 50 kilogram ikan air tawar terdiri daripada spesies puyu, tilapia, haruan dan beberapa jenis lain mati secara mendadak.
"Ini amat memeranjatkan kerana spesies seperti ikan puyu yang biasanya tahan lasak dan mampu bernafas di udara turut terkesan dalam insiden ini," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, penurunan kandungan oksigen terlarut dalam air biasanya berlaku akibat peningkatan aktiviti penguraian bahan organik.
Jelasnya, antara faktor penyumbang lazim termasuk pembuangan sisa kilang kelapa sawit, air kumbahan domestik, pembajaan berlebihan serta pembuangan bahan buangan organik lain ke dalam sistem saliran atau sungai berhampiran.
"Pasukan pegawai dari Jabatan Perikanan Negeri telah dihantar ke lokasi sejurus menerima laporan daripada orang awam bagi menjalankan siasatan awal dan mengambil sampel untuk analisis lanjut.
"Sampel ikan mati dan air dihantar ke Makmal Penyelidikan Perikanan bagi kajian mikrobiologi dan kimia untuk menentukan jenis bahan organik yang menyebabkan kematian ini," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Ghazali turut mengesahkan bahawa ikan yang mati dalam kejadian itu tidak selamat untuk dimakan.
"Penduduk kampung telah bekerjasama mengumpul serta menanam bangkai ikan-ikan tersebut sebagai langkah keselamatan dan kebersihan," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kejadian kematian ikan secara mendadak yang menggemparkan penduduk di Kampung Sungai Payung dan Sungai Tiang Baroh dekat Selekoh apabila ribuan ikan air tawar ditemui mati terapung di permukaan parit dan saliran utama kampung.
Kejadian itu disedari pada Isnin selepas air parit bertukar warna kemerahan dan berbau seperti belacan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

