Air kilang belacan punca ikan mati

IPOH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mendapati punca kematian ribuan ikan di dalam parit di Kampung Sungai Payung dan Sungai Tiang Baroh disyaki berpunca daripada sebuah kilang memproses belacan.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, kilang belacan itu dipercayai melepaskan air tidak terawat ke dalam longkang kilang.
Menurutnya, pelepasan air tidak terawat itu kemudiannya mengalir masuk ke sungai dan parit berhampiran.
“Pihak JAS Perak telah mengambil sampel air sungai dan air dari kilang belacan untuk proses perbandingan ‘fingerprint’.
“Keputusan persampelan akan diketahui tidak lama lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Semalam, Sinar Harian melaporkan penduduk Kampung Sungai Tiang Baroh dan Kampung Sungai Payung di sini gempar apabila ribuan bangkai ikan timbul dalam parit berhampiran dua kampung tersebut.
Susulan itu, JAS Cawangan Teluk Intan bertindak menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!