X

Kindly register in order to view this article
!

Jemaah menteri diarah isytihar harta

Muhyiddin bergambar bersama jemaah menteri sebelum mesyuarat kabinet pertama kerajaan baharu di Bangunan Perdana Putra hari ini. Foto: Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan semua anggota Kabinetnya mengisytiharkan harta yang dimiliki kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegas Muhyiddin, tindakan itu selaras dengan komitmen kerajaan memerangi rasuah.

"Borang akan diedarkan dan mereka perlu menghantarkannya kepada SPRM dalam tempoh sebulan," katanya.

Menurutnya, perkara itu telah diingatkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi.

"Kertas akujanji diserahkan untuk komitmen pimpinan dalam kerajaan bagi menentukan tahap integriti kerajaan berada pada tahap paling tinggi," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin menawarkan diri menjadi anggota Kabinet pertama yang dipotong gajinya bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan meskipun perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

"Kami tidak membincangkannya. Jangan 'pre-emp'. Saya sedia gaji dipotong lima atau 10 peratus," katanya.

Majlis Tindakan Ekonomi dibentuk

Sementara itu, kerajaan memutuskan pembentukan Majlis Tindakan Ekonomi akan dibentuk bagi mencari jalan penyelesaian terhadap situasi ekonomi negara yang meruncing berikutan harga minyak dunia merudum.

Menurutnya, mesyuarat pertama majlis tersebut akan diadakan setiap minggu bermula Isnin ini.

"Keputusannya akan dibentangkan ke Kabinet untuk tindakan selanjutnya diambil," katanya.

Beliau berkata, beberapa pakar termasuk Gabenor Bank Negara akan menganggotai majlis tersebut.

"Kerajaan akan hubungi mereka dalam masa terdekat," katanya.

Muhyiddin berkata, majlis tersebut akan dipengerusikan beliau bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Tambahnya, harga minyak dunia yang jatuh ke paras AS$30 setong memberi kesan tambahan terhadap dana kerajaan.

"Masalah ini turut dibebani dengan penularan koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia," katanya.

Menurutnya, semua ahli jemaah Kabinet sedar dan memahami situasi ekonomi negara berada dalam keadaan tidak baik.

"(Harga minyak dunia dan Covid-19) telah memberi impak besar kepada negara," katanya.

Dalam pada itu, Muhyidin mengarahkan setiap kementerian dan jabatan untuk mengemukakan cadangan dan dasar pembangunan untuk manfaat rakyat termasuk pelabur berikutan Perikatan Nasional terbentuk dalam keadaan luar biasa dan tiada manifesto khusus.

“Banyak perkara disentuh dalam mesyuarat hari ini, antaranya kita kerajaan baharu dibentuk, rakyat dan mungkin pelabur asing ingin tahu dasar Perikatan Nasional.

“Disebabkan kita tiada manifesto, Kabinet putuskan setiap kementerian dan jabatan akan kemukakan cadangan, perkara yang akan dilaksanakan akan memberi manfaat dan faedah sebenar," katanya.

Menurutnya, Perikatan Nasional menawarkan tawaran baharu untuk rakyat dan ia akan diumumkan segera.

"Kita akan beri perhatian sebelum tamatnya penggal ini," katanya.

Katanya, kerajaan yang dibentuk pada masa ini adalah untuk semua rakyat dan datang daripada pelbagai kaum.

“Saya nak nak tegaskan begitu, kerajaan kita tidak memberikan keutamaan kepada kumpulan tertentu masyarakat, sebaliknya kerajaan ini mewakili semua kaum termasuk etnik di Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau turut berjanji kerajaan Perikatan Nasional akan berlaku adil kepada semua.

"Siapa yang perlu dapatkan bantuan akan diberikan. Ini keyakinan kepada rakyat. Anggaplah kita (Jemaah Menteri) ini hamba kepada rakyat," katanya.

Azmin dipertanggungjawabkan mempengerusikan Kabinet

Dalam pada itu, beliau meletakkan tanggungjawab kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali bagi mempengerusikan mesyuarat Kabinet sewaktu ketiadaannya.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, kedudukan Azmin adalah sama dengan tiga menteri kanan lain.

"Sekiranya beliau tiada, mesyuarat akan dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Mereka sama," katanya.

Azmin dan Ismail Sabri merupakan antara menteri kanan yang dilantik membantunya menyelaras hal ehwal Kabinet yang berkaitan dengan bidang-bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial.

Dua lagi adalah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus