Van kuning kaut untung tanpa permit

Antara van haram yang disita oleh JPJ dalam operasi khas yang dijalankan di sekitar Negeri Sembilan pada Khamis.
Antara van haram yang disita oleh JPJ dalam operasi khas yang dijalankan di sekitar Negeri Sembilan pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Demi keuntungan pengusaha van haram sanggup gadaikan keselamatan anak-anak apabila beroperasi bagi tujuan komersial tanpa permit yang sah.

Dalam operasi khas yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) Negeri Sembilan di Seremban, Rembau, Kuala Pilah, dan Jempol, pada Khamis, 19 daripada 57 buah van yang diperiksa, telah diambil tindakan.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 55 notis saman JPJ(P)22 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Lebih tegas lagi, sebanyak 18 buah van telah disita di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan (APJ 1987) untuk siasatan lanjut.

"Kesalahan tertinggi direkodkan ialah penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) iaitu 26 kes yang mana kebanyakan kesalahan ini melibatkan van persendirian yang diubah suai dan digunakan untuk mengangkut penumpang bagi tujuan komersial tanpa permit sah, "katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, sebanyak 10 kes dikesan bagi kesalahan LKM tamat tempoh dan lapan kes melibatkan ketiadaan perlindungan insurans.

Ujar beliau, kesalahan tidak memiliki insurans amat membimbangkan kerana mendedahkan penumpang kepada risiko besar tanpa sebarang jaminan perlindungan sekiranya berlaku kemalangan.

Selain itu katanya, terdapat enam kes melibatkan sijil pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) yang telah tamat tempoh.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi kelayakan pemandu pula, empat kes dikesan bagi kesalahan memandu tanpa Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan satu (1) kes bagi Lesen PSV yang sudah tamat tempoh," katanya.

Kata Hanif, pihaknya memandang serius isu van haram kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi turut mengundang risiko besar terhadap keselamatan penumpang.

Ini kerana katanya, kenderaan tersebut selalunya tidak diselenggara mengikut jadual, tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan dan tidak dilindungi insurans yang sepatutnya.

"Para pengusaha syarikat dan ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa memastikan perkhidmatan van yang digunakan untuk mengambil pekerja atau anak-anak adalah perkhidmatan yang sah, berdaftar dan mempunyai permit yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

"Pastikan juga kenderaan tersebut mempunyai pelekat pemeriksaan Puspakom dan pemandunya mempunyai lesen PSV yang sah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!