Ibu harap anak-anak taat dan bahagia - Hantaran guru maut ditikam

Tangkap layar hantaran yang dibuat mendiang guru berusia 51 tahun itu sebelum dibunuh disyaki suspek anak keduanya.
Tangkap layar hantaran yang dibuat mendiang guru berusia 51 tahun itu sebelum dibunuh disyaki suspek anak keduanya.
A
A
A
MELAKA - "Ibu harap, semua anak ibu akan taat, membesar dengan sihat dan bahagia serta menjadi orang yang berguna! Sayang buat semua.

Demikian hantaran menyentuh hati seorang guru wanita yang juga ibu tunggal sempena Hari Ibu, pada 11 Mei lalu, sebelum beliau ditemukan maut dibunuh bersama anak sulungnya di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, di sini, pada Khamis.

Dalam hantaran di Facebook itu, mendiang berusia 51 tahun turut merakamkan penghargaan kepada anak sulungnya kerana menghasilkan sebuah video pendek sebagai hadiah Hari Ibu tahun ini.

"Walaupun ibu tidak dapat meraikannya tahun ini, ibu sangat gembira kerana ini adalah kali pertama menerima video pendek yang dibuat untuk ibu. Ibu harap semua anak ibu akan taat, membesar dengan sihat dan bahagia serta menjadi orang yang berguna! Sayang buat semua," tulisnya.

Mangsa turut memuat naik video berdurasi satu minit 15 saat yang dihasilkan oleh anak sulungnya berusia 21 tahun, yang turut menjadi mangsa pembunuhan kejam itu.

Video tersebut memaparkan detik-detik manis menerusi 25 keping gambar kenangan mereka sekeluarga sejak 16 tahun lalu, termasuk kenangan bersama suaminya yang telah meninggal dunia awal Januari lalu.

Selain itu, ibu kepada tiga anak lelaki ini juga berkongsi gambar penghargaan yang diterimanya seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada Kementerian Pendidikan Malaysia pada 25 April 2019, dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada Pejabat Pendidikan Daerah Seremban pada 22 Jun 2009.

Turut dikongsi ialah gambar kenangan mangsa di tempat kerja serta bersama ahli keluarga yang lain.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan seorang guru dan anak sulungnya berusia 21 tahun dipercayai dibunuh dalam kejadian tragis yang menggemparkan.

Artikel Berkaitan:

Dua beranak itu ditemukan di ruang tamu rumah, manakala anak bongsunya berusia 13 tahun pula ditemui berlumuran darah di luar rumah teres setingkat berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, tekanan belajar dan sering dimarahi dipercayai menjadi punca suspek yang juga anak kepada mangsa bertindak menikam ibu dan abangnya sehingga maut.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, suspek dipercayai masuk ke bilik ibunya yang juga merupakan seorang guru dan menyerang wanita berkenaan sebelum menikamnya menggunakan pisau lipat.

Menurut beliau, anak sulung mangsa yang menyedari kekecohan cuba meleraikan kejadian namun turut ditikam suspek sehingga meninggal dunia.

Seorang lagi anak lelaki mangsa berusia 13 tahun juga ditikam dan mengalami kecederaan parah, namun dilaporkan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Melaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!