Demi ilmu, bapa redah lautan setiap hari hantar anak ke sekolah

SHAH ALAM - Seorang bapa sanggup meredah lautan setiap hari demi memastikan dua anaknya tidak tercicir dalam pelajaran, apabila menghantar dan mengambil mereka dari kediaman di Kampung Salang, Pulau Tioman ke sekolah.
Pengajar selam skuba, Jamaludin Musa, 41, berkata, rutin harian menghantar anak sulungnya, Armin, 11, dan adiknya, Aida Izabella, 8, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tekek, Pulau Tioman, Rompin, Pahang telah dilakukan sejak tujuh tahun lalu.
Menurutnya, laluan darat ke sekolah mengambil masa hampir empat jam dan melibatkan kawasan hutan, cerun serta risiko haiwan berbisa, menjadikan perjalanan laut satu-satunya pilihan yang praktikal.
“Jalan darat langsung tidak sesuai. Dengan beg lagi, dengan hutan lagi, ada ular dan sebagainya, maka tidak sesuai untuk kami gunakan bagi ke sekolah.
“Justeru, kami menggunakan bot yang mengambil masa antara 10 hingga 15 minit, melalui tiga kampung lain, walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran cuaca,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Perkongsian video rutin harian perjalanan mereka menaiki bot untuk ke sekolah telah meraih perhatian ramai, dengan lebih 1.3 juta tontonan dan 74,800 tanda suka di media sosial.
Tambah Jamaludin, rutin bermula seawal jam 6.30 pagi apabila isterinya, Rozalia Bodi, 43, yang berasal dari Budapest, Hungary, menyiapkan anak-anak sebelum mereka menaiki motosikal ke jeti dan kemudian menaiki bot ke seberang pulau.
“Walaupun tempoh perjalanan laut tidak selama perjalanan darat, namun ia tetap mencabar. Dari rumah, saya naik motosikal ke jeti, kemudian menaiki bot, dan seterusnya menaiki motosikal semula ke sekolah.
“Selepas itu, saya pulang dengan bot ke rumah dan tunggu masa untuk ambil anak-anak semula selepas tamat sesi persekolahan. Jadi, kami guna tiga jenis pengangkutan setiap hari,” ujarnya.
Menurut Jamaludin, semangatnya untuk menghantar anak-anak tidak pernah luntur walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk insiden enjin bot tercabut dan jatuh ke laut, memaksanya membeli enjin baharu bernilai RM6,000.
Lebih membanggakan, anak-anaknya menunjukkan prestasi cemerlang apabila masing-masing memperoleh tempat pertama dalam kelas selain aktif dalam kegiatan sukan.
Jamaludin turut berkongsi bahawa beliau melatih anak-anaknya kemahiran mengemudi bot sejak kecil sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan ketika berada di laut.
“Alhamdulillah, Armin kini mampu mengemudi bot sendiri di perairan sekitar Kampung Salang sambil saya pantau. Malah, dia juga membantu menghantar rakan-rakan dari kampung ke destinasi masing-masing.
“Armin bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, malah turut menunjukkan prestasi membanggakan dalam bidang sukan,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

