Fasa pertama Kedah Rubber City tarik lima pelabur, infrastruktur dipertingkat - Sanusi

Muhammad Sanusi.
Muhammad Sanusi.
A
A
A

ALOR SETAR - Pembangunan kawasan perindustrian Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap menunjukkan kemajuan positif apabila fasa pertama telah berjaya menarik lima pelabur utama.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, usaha untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur di kawasan tersebut sedang giat dijalankan termasuk penyediaan bekalan elektrik dan jaringan jalan raya, dengan kerjasama pelbagai pihak.

Menurutnya, isu bekalan elektrik yang sebelum ini hangat diperkatakan sudah selesai dan kawasan berkenaan sudah menikmati bekalan elektrik secukupnya.

“Alhamdulillah, kita dapat lihat KRC sudah mula menampakkan sinarnya. Stesen PMU (Pencawang Masuk Utama) juga telah siap dan masalah bekalan elektrik berjaya diselesaikan lebih awal daripada perancangan asal.

“Sebelum ini Tenaga Nasional Berhad (TNB) mohon lima tahun untuk siapkan infrastruktur bekalan elektrik yang mencukupi untuk kawasan itu, selepas perbincangan kita minta siapkan dalam dua tahun dan tubuhkan task force peringkat negeri untuk proses pengambilan tanah di kawasan yang ada pemilikan.

“Kita benarkan TNB masuk ke kawasan tanah-tanah kerajaan agar cepat disiapkan, akhirnya siap dan bekalan elektrik sudah mula beroperasi di KRC,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, infrastruktur jalan raya juga menjadi fokus utama memandangkan kehadiran industri akan meningkatkan penggunaan kenderaan berat di kawasan berkenaan.

“Kita akan mohon kepada Kementerian Ekonomi untuk projek jalan empat lorong dari Pekan Pokok Sena ke Padang Terap. Pengambilan tanah dari Langgar, Pokok Sena hingga ke Padang Sanai sudah selesai.

“Sekarang cuma tinggal pembinaan sahaja kerana jalan sedia ada bertukar dari empat lorong kepada dua lorong di Pokok Sena, Jadi kita perlu kepada infrastruktur jalan baharu dan lebih lebar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

KRC yang terletak di Kuala Nerang merupakan salah satu projek utama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang memberi tumpuan kepada industri berasaskan getah dan dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi kawasan utara.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, sebuah lagi projek ikonik Kedah, iaitu Kedah Science Technology Park (KSTP) di Bukit Kayu Hitam juga menunjukkan kemajuan positif.

“Kerajaan negeri juga sedang memberi tumpuan kepada pembangunan KSTP yang kini dalam proses akhir penyediaan tanah bagi memudahkan kemasukan pelabur baharu.

“Ada pelabur sangat berminat untuk menandatangani perjanjian pada Ogos depan, jadi kita telah percepatkan proses berkaitan syarat tanah termasuk pertukaran status rizab Melayu melalui mekanisme tukar ganti (land swapping) yang diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK),” ujarnya.

Tambah Muhammad Sanusi, semua projek di bawah kendalian Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu berjalan lancar dan memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Saya ucapkan terima kasih kepada NCIA dan Kerajaan Persekutuan kerana memberi perhatian terhadap pelaksanaan program-program pembangunan di bawah seliaan NCIA,” katanya

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!