SKMM sahkan seorang kakitangan positif Covid-19

No Image Caption
A
A
A

CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan seorang kakitangannya didapati positif koronavirus (Covid-19) setelah dimaklumkan pihak kesihatan kerajaan semalam.

Dalam satu kenyataan, SKMM menjelaskan kakitangan itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.

Sebagai langkah proaktif, SKMM sebelum ini turut mengarahkan individu berkenaan bagi menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah sejak 4 Mac lalu, susulan mendapati suami individu itu mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19.

"Pengesanan Kontak Terperinci juga telah dilaksanakan untuk mengenal pasti dan memaklumkan kepada individu yang mempunyai kontak secara langsung dengan kakitangan terbabit agar mereka menjalani prosedur kuarantin dan saringan kesihatan pada hari ini.

"Pengurusan SKMM telah dan sedang berusaha memastikan tahap kesihatan dan persekitaran kondusif yang maksimum di semua premis SKMM dengan langkah pencegahan seperti penyediaan cecair pembasmi kuman, pemeriksaan wajib suhu badan, kerja-kerja sanitasi dan pembersihan di ibu pejabat serta semua pejabat negeri SKMM," katanya.

SKMM berkata, demi memastikan kelangsungan perkhidmatan dan membendung penularan virus Covid-19, Pasukan Pengurusan Risiko SKMM telah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan (PKP) pada 25 Februari lalu.

Menurutnya, antara langkah diambil adalah seperti membenarkan kakitangan bekerja dari rumah di samping menyediakan pejabat alternatif di luar Lembah Kelang jika diperlukan kelak.

"Aspek perancangan sumber manusia diberi perhatian khusus terutama berkaitan fungsi kerja kritikal dan peneraju setiap bidang perkhidmatan penting.

Artikel Berkaitan:

"Langkah-langkah tambahan daripada PKP adalah untuk memperkenalkan skim pembayaran ganti rugi yang diharap membantu kakitangan mengambil keputusan yang tepat," katanya.

SKMM turut memberi jaminan semua operasi di Ibu Pejabat, Bangunan Lama SKMM di Cyberjaya dan pejabat negeri akan berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, Kaunter Aduan Pengguna akan ditutup buat sementara waktu bagi mengelakkan risiko jangkitan melalui kontak.

"SKMM akan terus memantau perkembangan lanjut dan mengambil semua langkah yang perlu diberi tumpuan bagi memastikan keselamatan pihak awam terjamin dan kesihatan kakitangan diutamakan," katanya.