Pemandu lori tular didapati positif dadah

Video tular memaparkan sebuah lori dipandu secara melulu di Lebuhraya Persekutuan, di sini, pada Khamis.
Video tular memaparkan sebuah lori dipandu secara melulu di Lebuhraya Persekutuan, di sini, pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pemandu lori tular yang ditahan polis kerana memandu secara melulu, mengubah haluan dan berhenti secara mengejut di Lebuhraya Persekutuan, di sini, pada Khamis lalu, didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pemandu lori itu telah ditahan di Meru, Klang, pada Jumaat bagi membantu siasatan.

"Ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori itu positif dadah jenis methampetamine, dia telah ditahan reman sehingga Selasa bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Fakhrudin berkata, bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah mengesan satu video tular berdurasi dua minit 59 saat yang memaparkan sebuah lori dipandu secara melulu di Lebuhraya Persekutuan dari arah Shah Alam sebelum susur masuk Subang, di sini.

"Kejadian itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Myvi dan lori jenis Scania. Kita berjaya mengesan kedua-dua pemandu kenderaan yang terlibat dalam kejadian tersebut," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1) akta dadah berbahaya 1952.

"Pemilik kenderaan diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.

"Kita tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang memandu secara berbahaya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!