'Barang arwah pengubat rindu kami'

Siti Hajar (kiri) sebak semasa mengambil barangan milik adiknya, Mohammad Aqil di Masjid Hadhari, Jerteh pada Khamis.
Siti Hajar (kiri) sebak semasa mengambil barangan milik adiknya, Mohammad Aqil di Masjid Hadhari, Jerteh pada Khamis.
A
A
A

JERTEH - "Sedih bila tengok barang-barang arwah. Tadi pagi kami pergi ziarah kubur adik."

Demikian luah Siti Hajar Nur Fatin Mohd Sofian, 25, kakak kepada Allahyarham Mohammad Aqil Taqiuddin, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada Isnin.

Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, semua barangan milik adiknya, terutama motosikal, akan dijaga sebaik mungkin bagi mengubati kerinduan terhadap Mohammad Aqil.

"Semua ini kenangan serta pengubat rindu kepada arwah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Hadhari, di sini, pada Khamis.

Siti Hajar merupakan antara sembilan waris kepada mangsa nahas kemalangan bas melibatkan 15 pelajar UPSI yang hadir mengambil barangan yang dibawa dari Perak ke Terengganu.

Mohd Azlan (kiri) bersama petugas yang menguruskan barangan milik kesemua 15 pelajar UPSI yang menjadi mangsa nahas kemalangan bas di Gerik, Perak.
Mohd Azlan (kiri) bersama petugas yang menguruskan barangan milik kesemua 15 pelajar UPSI yang menjadi mangsa nahas kemalangan bas di Gerik, Perak.

Sementara itu, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti UPSI, Profesor Dr Mohd Azlan Nafiah berkata, dengan kerjasama semua pihak, mereka telah mengumpulkan kesemua barangan milik 15 pelajar yang terkorban untuk diserahkan kepada waris masing-masing.

Ujarnya, kesemua barangan tersebut dibawa menaiki lori dan bertolak selepas solat Zohor pada Rabu.

"Kami tiba di sini sekitar jam 10.30 pagi dan daripada 15 keluarga, hanya sembilan yang dapat hadir sendiri ke Masjid Hadhari.

"Selebihnya kami akan hantar ke rumah kerana ada yang mempunyai kekangan dari segi pengangkutan serta beberapa urusan yang tidak dapat dielakkan," katanya.

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!