Rakyat Malaysia edar al-Quran hingga ke Afrika

Pengedaran al-Quran kepada penduduk negara Afrika hasil sumbangan rakyat Malaysia
Pengedaran al-Quran kepada penduduk negara Afrika hasil sumbangan rakyat Malaysia
A
A
A

TANZANIA – Lebih 20,000 mushaf al-Quran hasil sumbangan rakyat Malaysia berjaya diedarkan ke empat buah negara di Afrika dalam tempoh seminggu lalu.

Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia, Zulkifli Baharom berkata, antara negara yang terlibat termasuk Chad, Nigeria, Uganda dan Tanzania, di mana pengagihan dimulakan sejak 5 Jun hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Menurutnya, lokasi-lokasi tersebut dipilih berdasarkan keperluan mendesak termasuk taraf kemiskinan yang dihadapi penduduk tempatan.

“Di Tanzania sendiri yang mempunyai hampir 70 juta penduduk, sebanyak 3,500 al-Quran telah diedarkan kepada mereka.

"Pemberian ini dilihat sebagai talian hayat kepada rakyat tempatan untuk tidak ketinggalan dalam mendalami ilmu al-Quran walaupun hidup dalam serba kekurangan,” katanya ketika selesai melaksanakan Projek Amal Korban 2025.

Jelasnya, secara keseluruhan sebanyak 2,000 ekor haiwan korban yang melibatkan lembu, kambing dan unta diagihkan sehingga Selasa kepada umat Islam di empat buah negara berkenaan.

“Kami cukup terkesan dengan nasib umat Islam di sini, diharapkan dengan pengagihan al-Quran dan ibadat korban yang dilaksanakan, sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada mereka,” tambahnya.

Zulkifli juga menekankan pengalaman selama 17 tahun melaksanakan misi luar negara membolehkan pihaknya lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Artikel Berkaitan:

“Keistimewaannya ialah kita membawa tukang sembelih dari Malaysia bagi memastikan ketelusan dan pelaksanaan ibadah korban di negara tersebut berjalan lancar,” katanya.

Tanpa mengenepikan program yang sama di dalam negara, Zulkifli berkata, pemilihan negara-negara Afrika sebagai lokasi misi dilaksanakan kerana keperluan mendesak dan taraf kemiskinan melampau yang dihadapi penduduk di sana.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!