Lebih tiga juta rakyat Malaysia bekerja sendiri

SHAH ALAM - Lebih 3 juta rakyat Malaysia kini berada dalam kategori bekerja sendiri termasuk peniaga kecil, penjaja, pengendali gerai makanan, pekebun kecil, pekerja informal dan pekerja gig.
Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berkata, bilangan rakyat negara ini bekerja sendiri direkodkan meningkat kepada 3.16 juta orang pada April 2025 berbanding 2.39 juta orang sejak Januari 2021.
"Pertumbuhan segmen itu pada April 2025 adalah sebanyak 3.2 peratus tahun ke tahun, mengatasi pertumbuhan guna tenaga keseluruhan yang naik 2.8 peratus tahun ke tahun pada bulan sama.
"Kadar pengangguran belia kekal tinggi pada paras 10.3 peratus pada April 2025 untuk bulan keempat berturut-turut, sekali gus masih melebihi paras terendah prapandemik iaitu 9.9 peratus pada Disember 2019," kata Maybank IB.
Firma penyelidikan tersebut memaklumkan, kadar pengangguran terus berkurang, namun jumlah pekerja diberhentikan kerja meningkat sebanyak 64.5 peratus tahun ke tahun dan 29.7 peratus bulan ke bulan kepada 6,391 orang pada April 2025.
Tambah Maybank IB, pemberhentian kerja pula meningkat 29.5 peratus tahun ke tahun kepada 22,565 orang bagi tempoh empat bulan pertama 2025.
"Peningkatan hampir 30 peratus dalam pemberhentian kerja pada April 2025 itu berkemungkinan disebabkan oleh penyusunan semula dan penstrukturan semula perniagaan susulan perubahan dalam keadaan pasaran termasuk dasar tarif AS, ketegangan geopolitik dan kelembapan ekonomi global mengganggu rantaian bekalan antarabangsa," ujarnya.
Bagaimanapun, firma berkenaan mendapati kadar pengangguran yang kekal rendah dan stabil adalah selaras dengan keadaan guna tenaga penuh serta penurunan dalam jumlah penganggur menunjukkan pekerja diberhentikan berjaya mendapatkan pekerjaan baharu.
Dalam perkembangan sama, kadar pengangguran di Malaysia menurun kepada 3.0 peratus pada April 2025 iaitu paras terendah sejak April 2015 disebabkan beberapa faktor termasuklah pertumbuhan guna tenaga mengatasi kadar pertumbuhan tenaga buruh.
Menurutnya lagi, keadaan 'guna tenaga penuh' yang didorong pertumbuhan pendapatan lebih kukuh melalui pelaksanaan Fasa 1 penyelarasan gaji penjawat awam pada 1 Disember 2024, kenaikan gaji minimum bulanan kepada RM1,700 bermula 1 Februari 2025 dan sebagainya memberi kesan positif kepada perbelanjaan pengguna.
Justeru, perkembangan terbabit memberi kesan positif kepada perbelanjaan pengguna dengan penggunaan swasta sebenar dijangka berkembang sebanyak 5.3 peratus pada 2025 dan 5.1 peratus pada 2026.Lebih 3 juta rakyat Malaysia bekerja sendiri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


