Kerajaan Terengganu salur 'one off' RM3,000 kepada keluarga nahas UPSI

KUALA NERUS – Kerajaan negeri Terengganu menyalurkan bantuan 'one-off' berjumlah RM3,000 kepada setiap keluarga 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada Isnin.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1,000 telah pun diserahkan kepada keluarga mangsa baru-baru ini.
“Kerajaan negeri melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan hari ini (Rabu) bersetuju untuk memberikan sumbangan kepada semua mangsa yang terlibat,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya pada Rabu.
Menurut beliau, sumbangan itu merupakan tanda keprihatinan dan solidariti kerajaan negeri terhadap keluarga yang ditimpa musibah.
Bagi mangsa yang cedera pula, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kebajikan sebanyak RM1,000 kepada 33 individu yang terlibat dalam kejadian terbabit.
Ahmad Samsuri turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri amat terkesan dengan tragedi ini dan komited untuk membantu sedaya mungkin.
“Kerajaan negeri juga memohon seluruh rakyat Terengganu agar terus mendoakan kesejahteraan mangsa dan semoga keluarga mereka diberi ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!