Nahas pelajar UPSI: Kerajaan Perak rakam penghargaan kepada semua petugas, sukarelawan

Saarani (tengah) dan kerajaan Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan tragedi kemalangan bas membabitkan pelajar UPSI.
Saarani (tengah) dan kerajaan Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan tragedi kemalangan bas membabitkan pelajar UPSI.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan tragedi kemalangan bas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengorbankan 15 nyawa pada Isnin lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) turut menyampaikan penghargaan tidak terhingga kepada petugas perubatan di Hospital Gerik, Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Taiping yang bertungkus-lumus memberi rawatan terbaik kepada mangsa tanpa mengenal penat lelah.

“Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada pasukan barisan hadapan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Rakyat serta semua anggota penyelamat yang bertindak pantas demi keselamatan dan kesejahteraan mangsa.

"MMK turut menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Gerik, Majlis Bandaraya Ipoh, jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi berkaitan yang memainkan peranan penting dalam menyelaras tindakan serta memberi sokongan logistik kepada waris dan keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Saarani berkata, komitmen pihak pengurusan UPSI dalam mengurus kebajikan pelajar serta keluarga wajar dipuji kerana mencerminkan nilai empati dan tanggungjawab yang tinggi dalam institusi pendidikan.

Jelasnya, kerajaan negeri juga amat menghargai keprihatinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu yang tampil memberikan bantuan termasuk menggerakkan kempen derma darah untuk membantu mangsa.

“Sumbangan semua pihak dalam menyantuni waris, menyelaras pengurusan jenazah, membantu urusan logistik serta memberikan sokongan moral membolehkan kesemua jenazah mangsa dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing dengan tertib dan penuh penghormatan.

“Semoga semua mangsa yang cedera dikurniakan kesembuhan dan keluarga yang kehilangan insan tersayang terus diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat-saat duka ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!