Dron bantu kesan penunggang ingkar di Lebuhraya Persekutuan

PETALING JAYA - Segelintir penunggang motosikal yang menunggang laju dan cuba menyelit antara kenderaan bagi mengelak sekatan sempena Op Motosikal di Lebuhraya Persekutuan, gagal meloloskan diri apabila perbuatan mereka berjaya dikesan melalui penggunaan dron.
Operasi dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan bantuan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman yang merekod setiap pergerakan pengguna jalan raya sepanjang laluan lebuh raya berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, operasi menyasarkan penunggang motosikal yang enggan menggunakan lorong motosikal yang disediakan, meskipun atas alasan mahu cepat sampai ke destinasi.

"Dalam operasi ini kita tidak kejar mereka yang melakukan kesalahan ini, sebaliknya dengan menggunakan dron kita rakam kesalahan dilakukan dan kita akan hantar notis saman untuk tindakan selanjutnya.
"Bantuan dron dari PGU Bukit Aman ini secara langsung memastikan operasi dilaksanakan dengan lebih berkesan dan masa sama memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin," katanya ketika ditemui dalam Op Motosikal di Lebuhraya Persekutuan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, teknologi dron digunakan bagi memastikan pemantauan lebih menyeluruh serta memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap pengguna jalan raya.
"Sebanyak 32 saman berjaya dikeluarkan hasil rakaman udara dron dalam tempoh 30 minit awal operasi dijalankan dan keseluruhan sebanyak 47 saman dikeluarkan.
"Gambar serta nombor pendaftaran motosikal yang dikesan melakukan kesalahan akan dikirimkan kepada pemilik untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Menurutnya, kerjasama dengan Unit Dron PGU Bukit Aman itu dilaksanakan bagi menangani isu peningkatan kemalangan maut membabitkan motosikal, khususnya di lebuh raya berkenaan.
"Rekod mencatatkan sebanyak 70 peratus kematian direkodkan di Petaling Jaya khususnya di Lebuhraya Persekutuan ini membabitkan penunggang motosikal.
“Penunggang motosikal merupakan golongan paling terdedah, apatah lagi apabila mereka gagal menggunakan lorong motosikal yang disediakan,” jelasnya.
Tambah beliau, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap mana-mana penunggang yang menggunakan laluan tidak dibenarkan.
“Penguatkuasaan menggunakan dron akan dijalankan secara berterusan. Tiada lagi ruang untuk melarikan diri, setiap kesalahan dirakam dan tindakan pasti menyusul,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

