Dua penunggang motosikal maut dalam nahas 5 kenderaan

KLUANG - Dua penunggang motosikal maut, manakala dua lagi cedera dalam nahas melibatkan lima kenderaan di Kilometer 84, Jalan Kota Tinggi-Kluang, pada awal pagi, Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, nahas dipercayai berlaku pada jam 12.45 tengah malam melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan empat motosikal.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang seorang lelaki berusia 20 tahun memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena yang dipandu oleh seorang guru berusia 48 tahun.
"Perlanggaran itu menyebabkan sebuah motosikal lain jenis Nouvo LC ditunggang seorang wanita berusia 25 tahun turut terlibat apabila digesel sebuah motosikal lain yang tidak dikenal pasti, lalu hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan.
"Turut terbabit sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan sebuah motosikal jenis SM Sport 110R yang ditunggang remaja lelaki berusia 16 tahun," katanya.
Jelasnya, akibat kemalangan itu, penunggang Yamaha 135LC serta penunggang motosikal jenis Nouvo LC maut di lokasi akibat mengalami kecederaan parah di kepala.
Tambahnya, penunggang Yamaha 15ZR mengalami kecederaan ringan di kaki dan tangan, manakala penunggang SM Sport 110R cedera di tangan dan belakang badan dan pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
