Armizan boleh pinda peraturan bila-bila masa sebagai menteri - Ka Siong

SHAH ALAM - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali boleh menggunakan kuasa menteri mengikut budi bicaranya untuk meminda peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia kerana kerana di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Armizan mempunyai prerogatif sebagai menteri untuk meminda peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan)2021.
"Sebagai Menteri selama hampir dua tahun, kenapa anda tidak bersuara dari awal mengenai peraturan ini?
"Peraturan itu boleh dipinda pada bila-bila masa oleh anda, sebaliknya anda memilih untuk menguatkuasakan Ops Gasak secara ketat yang menimbulkan kemarahan dalam kalangan penjaja dan kebimbangan dalam kalangan peniaga kecil serta orang ramai.
"Dan apabila tekanan datang dari semua pihak, anda mengambil pusingan u, nampaknya Kabinet bersetuju untuk memberikan beberapa pengecualian yang akan diumumkan kemudian," katanya menerusi video di Facebook pada Selasa.
Perang mulut berhubung LPG bersubsidi antara Ka Siong dan Armizan tercetus apabila baru-baru ini beliau mendakwa bekas menteri itu terlibat dalam meluluskan peraturan kontroversi Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 ketika menjadi Menteri Pengangkutan pada 2021.
Pada Ahad lalu, Ka Siong berkata, walaupun beliau berkhidmat sebagai Menteri Kabinet pada 2021, beliau tidak pernah terlibat dalam meluluskan peraturan sedemikian.
Sebagai tindak balas, Armizan berkata, Ka Siong merujuk kepada undang-undang yang berbeza dan dalam sidang akhbarnya pada 5 Jun, beliau dengan jelas menyatakan kementeriannya sedang menguatkuasakan Ops Gasak di bawah peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 untuk memerangi penyeludupan LPG bersubsidi.
Dalam menafikan tuduhan Armizan, Ka Siong berkata, peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 tiada kaitan dengannya, kerana ia tidak terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.
"Apa kaitan Kementerian Pengangkutan dengan ini? Melainkan anda menganggap semua menteri harus membaca dan meluluskan warta persekutuan bersama-sama. Kemudian semua menteri harus dipersalahkan pada masa itu," kata Dr Wee.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 dengan jelas menyatakan bahawa semua kedai mesti menggunakan gas petroleum cecair (LPG) komersial mulai 2021 dan peniaga bimbang sama ada mereka dibenarkan atau tidak menggunakan silinder gas bersubsidi yang kosnya lebih murah.
"Anda boleh meminda peraturan ini sekarang, menandatanganinya dan menghantarnya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk proses pewartaan persekutuan," katanya.
Ka Siong turut mendakwa Armizan telah menuduhnya merujuk kepada undang-undang yang salah, walaupun beliau memetik Hansard parlimen 2021, yang menunjukkan bahawa semasa perbahasan Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, tidak ada menyebut tentang mengawal selia silinder LPG bersubsidi.
"Saya sudah tunjukkan bukti dan sekarang, menteri juga patut tunjukkan bukti melalui Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, yang jelas menyatakan semua restoran perlu menggunakan LPG komersial dan bukannya LPG bersubsidi mulai 2021," katanya.
Ka Siong juga mengatakan perasaan kecewa apabila Armizan tidak membalas mesej teks 31 Mei daripadanya yang bertanyakan isu itu.
"Kalau tak boleh jawab pun takkan lapan hari pun tak jawab. Siapa yang sombong angkuh ni? Jadi tak payah drama, tak payah spin, tak payah heret orang lain. Kononnya turut terlibat.
"Kalau niat nak bantu rakyat, buat sajalah. Armizan, tak payah perli dan buatlah keputusan yang tidak membawa beban kewangan yang berat kepada rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!