KPDN bongkar kegiatan pindah gas LPG secara haram

Jegan (tengah) bersama pegawai KPDN Pulau Pinang melihat aktiviti pemindahan gas LPG yang dilakukan sindiket dalam serbuan yang dilakukan di sebuah premis di Jawi, pada Rabu.
Jegan (tengah) bersama pegawai KPDN Pulau Pinang melihat aktiviti pemindahan gas LPG yang dilakukan sindiket dalam serbuan yang dilakukan di sebuah premis di Jawi, pada Rabu.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi melibatkan gas petroleum cecair (LPG) dalam satu serbuan di sebuah premis sekitar Jawi, di sini, pada Rabu.

Serbuan yang dilakukan pada jam 10.30 malam itu adalah hasil risikan selama tiga minggu oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Pulau Pinang.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, RS Jegan berkata, pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan dijadikan stor aktiviti pemindahan (decanting) gas LPG bersubsidi 14 kilogram (kg) yang sepatutnya untuk kegunaan isi rumah ke dalam tong 50kg bagi kegunaan industri.

Menurutnya, penemuan beberapa peralatan seperti hos penyambung merupakan bukti kukuh berlakunya aktiviti pemindahan kandungan LPG secara haram.

"Dalam serbuan itu, beberapa peralatan termasuk dua buah lori telah disita bagi tujuan siasatan lanjut, selain 236 tong gas LPG berisi dan kosong serta beberapa dokumen berkaitan turut dirampas.

"Kuantiti LPG yang dirampas dianggarkan berjumlah 6,014kg dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM77,044," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan, di sini, pada Khamis.

Jegan berkata, tiga lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 33 tahun, terdiri daripada seorang pengurus syarikat dan dua pekerja premis, turut ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang mungkin terlibat dalam aktiviti haram ini termasuk rantaian pengedarannya.

Beliau turut memberi amaran keras kepada semua pihak agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta dan maksimum RM5 juta untuk kesalahan berulang,” ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!