Peguam tawar khidmat guam percuma kepada mangsa intimidasi agensi kerajaan

SHAH ALAM - Seorang peguam tampil menawarkan khidmat guaman secara percuma (pro bono) kepada mana-mana individu yang didakwa menjadi mangsa tindakan intimidasi oleh segelintir agensi kerajaan dan penjawat awam.
Tawaran itu dikemukakan Ahmad Nizam Hamid susulan pendedahan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendakwa beberapa penyokong parti itu kini disiasat selepas menyuarakan pandangan berbeza terhadap proses pemilihan parti itu.
Ahmad Nizam berkata, beliau bersama rakan peguam, Saiful Izham Ramli dan beberapa individu lagi mengambil pendirian untuk mempertahankan hak kebebasan bersuara, terutama dalam kalangan rakyat biasa yang dilihat menjadi sasaran agensi penguat kuasa.
Jelasnya, beliau dihubungi tiga ahli PKR yang memohon nasihat undang-undang selepas mereka didakwa disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berikutan hantaran mereka di platform X yang mengkritik proses pemilihan PKR baru-baru ini.
“Hantaran itu saya lihat tidak bersifat subversif atau menyentuh isu-isu sensitif. Namun, pegawai SKMM sangat ‘efisien’ mengesan pengguna tersebut.
“Ada juga pegawai dilaporkan ke Langkawi untuk mendapatkan keterangan. Kecekapan luar biasa ini harus dikagumi, namun dalam masa yang sama tindakan itu dilihat sebagai usaha terancang bagi menutup suara yang berbeza pandangan, ini sangat mendukacitakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Nizam turut menyifatkan dakwaan penggunaan agensi kerajaan semasa yang kini diterajui PKR dan Pakatan Harapan (PH) bagi menyekat suara dalam kalangan anggotanya sendiri, sebagai langkah mundur dan mengulangi taktik era silam.
“Perbuatan intimidasi oleh aparatus negara adalah ‘dosa besar’ dalam kehidupan bernegara. Ia bercanggah dengan prinsip demokrasi dan falsafah Madani,” ujarnya.
Terdahulu, Rafizi turut menggesa pihak berkuasa agar menghentikan tekanan ke atas penjawat awam serta orang ramai yang mengkritik pemilihan parti.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, sepanjang minggu lalu beliau menerima pelbagai aduan mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang menyuarakan pandangan peribadi berhubung proses pemilihan tersebut.
“Perbezaan pandangan perlu ditangani secara berhemah, bukan dengan tekanan atau intimidasi. Jika tidak, rakyat akan terus melihat kerajaan sekarang sebagai pantas menggunakan kuasa dan menolak hak rakyat untuk bersuara,” katanya.
Rafizi turut mendedahkan senarai pengguna platform X yang mendakwa mereka menjadi mangsa siasatan, termasuk laporan polis yang dibuat oleh isteri salah seorang individu terlibat.
Ahmad Nizam dalam pada itu menegaskan, beliau dan rakan-rakan peguam bersedia untuk membela mana-mana individu yang menjadi mangsa tekanan tersebut demi memastikan suara rakyat tidak terus disekat.
“Negara ini terlalu indah untuk ditadbir oleh mereka yang takutkan perbezaan. Demokrasi bukan musuh, ia adalah rahmat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

