10 bulan menabung, Rumah Ngaji berjaya laksana korban 4 ekor lembu

MANJUNG – Hasil usaha menabung selama 10 bulan, Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh berjaya melaksanakan ibadah korban tahun ini apabila empat ekor lembu berjaya dikorbankan untuk manfaat masyarakat setempat.
Penggeraknya, Datin Maziah Rafie berkata, inisiatif itu bermula dengan perancangan awal untuk membeli seekor lembu sahaja namun rezeki berganda apabila kutipan melebihi jangkaan.
Lebih menggembirakan lagi, mereka turut mendapat seekor lagi lembu tambahan yang disumbangkan oleh Ahli Majlis Perbandaran Manjung, Abdul Razak Nazri menjadikan empat ekor keseluruhan.
"Bagi kami di Rumah Ngaji ini, ibadah korban yang kita laksanakan bukan sekadar penyembelihan haiwan, tetapi menjadi wadah untuk menyemai kasih sayang, ukhwah dan semangat bantu-membantu.
"Rumah Ngaji bukan hanya tempat belajar al-Quran tetapi juga medan amal serta kebajikan berpaksikan prinsip baca, faham dan amal al-Quran," katanya kepada Sinar Harian.
Maziah berkata, paling penting ibadah korban yang pertama kali dilaksanakan oleh Rumah Ngaji itu turut memberi manfaat kepada masyarakat setempat apabila daging korban diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Menurutnya, seramai 100 orang peserta dalam kalangan ahli Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh bersama 40 orang sukarelawan terlibat dalam menguruskan ibadah korban tersebut.
"Saya ucapkan terima kasih kepada peserta terlibat, para penyumbang serta pihak berkaitan yang menyokong pelaksanaan ibadah korban ini.
"Semoga Allah memberkati usaha ini dan membuka lebih banyak peluang untuk memberi manfaat kepada ummah, insya-ALLAH," katanya lagi.
Beliau berharap kejayaan penganjuran kali pertama ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak aktiviti bermanfaat yang mampu mengeratkan hubungan komuniti dan memperkukuh semangat tolong-menolong dalam kalangan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

