Mangsa nahas bas pelajar UPSI termasuk pemandu akan dibantu

JERTEH – Kesemua mangsa yang cedera dalam nahas membabitkan bas dinaiki penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada Isnin, termasuk dua pemandu akan menerima bantuan daripada Kerajaan Terengganu.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim, berkata kerajaan negeri kini memberikan tumpuan kepada penyaluran bantuan susulan termasuk rawatan perubatan, logistik serta keperluan lain.

“Kami sedang menilai satu demi satu keadaan mangsa yang cedera. Setakat ini, seorang penuntut perempuan dikenal pasti dalam keadaan kritikal dan memerlukan pembedahan besar dengan anggaran kos RM27,000.
“Insya-ALLAH, kos ini akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri, namun kami juga sedang berunding dengan hospital dan pihak universiti, sama ada mereka boleh membantu melalui program tanggungjawab sosial,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Hadhari di sini pada Selasa.
Tambah beliau, selain pelajar yang kritikal, kerajaan negeri juga mengambil kira keperluan dua pemandu bas yang turut cedera serta beberapa penuntut lain yang kini dirawat di hospital sekitar Gerik, Taiping dan Ipoh di Perak.
“Dua pemandu itu juga rakyat negeri ini. Kami tidak akan mengabaikan kebajikan mereka. Bantuan akan disalurkan mengikut keperluan dan tahap kecederaan masing-masing,” jelas beliau.

Mengulas mengenai bantuan kepada waris mangsa yang terkorban, Maliaman berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan segera RM1,000 kepada setiap keluarga bagi melancarkan urusan pengebumian.
“Daripada jumlah itu, lima mangsa berasal dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Besut, empat dari Jabi, tiga dari Kota Putera, manakala masing-masing seorang dari Jerteh dan Langkap.
“Bantuan ini diserahkan terus kepada wakil rakyat kawasan masing-masing yang lebih dekat dengan keluarga mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu proses penghantaran jenazah dari Perak ke Terengganu berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), badan bukan kerajaan, masjid dan pasukan sukarelawan, dengan 14 jenazah selesai disolatkan di Masjid Hadhari.
Nahas sekitar jam 1 pagi itu meragut nyawa 15 penuntut UPSI, manakala 22 lagi cedera termasuk beberapa mangsa cedera parah yang kini masih dirawat di Hospital Gerik, Hospital Taiping dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

