15 pelajar UPSI maut nahas: Pemandu bas direman selepas sembuh

Noor Hisam (dua dari kanan) sewaktu meninjau keadaan bas dan lokasi nahas di Kilometer 53 JRTB Gerik-Jeli pada Isnin.
Noor Hisam (dua dari kanan) sewaktu meninjau keadaan bas dan lokasi nahas di Kilometer 53 JRTB Gerik-Jeli pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik sehingga meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan direman sebaik sahaja dibenarkan keluar dari hospital.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki berusia 40 tahun itu masih menerima rawatan di Hospital Taiping akibat kecederaan yang dialami dalam nahas berkenaan.

“Ketika ini, pemandu bas terbabit masih dirawat. Siasatan lanjut hanya akan dilakukan sebaik beliau dibenarkan keluar hospital," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Terdahulu dalam sidang media, Noor Hisam memberitahu bahawa polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kejadian itu.

Katanya, siasatan menyeluruh sedang dijalankan melibatkan pelbagai aspek termasuk dakwaan bahawa bas tersebut dipandu laju.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi pada Isnin itu, 15 pelajar disahkan meninggal dunia sementara 27 yang lain cedera. Turut cedera ialah pemandu bas dan kelindannya yang berusia 54 tahun.

Nahas dipercayai berlaku apabila bas dalam perjalanan dari Terengganu ke Kampus UPSI di Tanjung Malim itu melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan hilang kawalan sebelum terbalik merempuh pembahagi jalan.

Dalam kejadian itu, empat sekeluarga yang menaiki MPV terbabit terselamat dengan mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Baling, Kedah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!