Mayat bergelimpangan dalam longkang, jasad tak sempurna - Bomba

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin (kiri) turut meninjau lokasi kejadian.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin (kiri) turut meninjau lokasi kejadian.
A
A
A

GERIK – “Ini antara operasi paling menyayat hati yang pernah saya ikuti. Mayat bergelimpangan dalam longkang, atas pembahagi jalan, dengan sebahagiannya tidak sempurna anggota badan.”

Demikian luahan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Mohd Azizan Abdul Aziz, yang mengetuai operasi menyelamat dalam tragedi nahas bas ekspres di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli, di sini, pada Isnin.

Menurut Mohd Azizan, suasana di lokasi kejadian amat sukar digambarkan dengan kata-kata, penuh kekalutan, tangisan, dan jasad-jasad yang sudah tidak bernyawa.

“Saya tiba di lokasi jam 2.34 pagi. Ketika itu, anggota bomba yang lebih awal sampai sudah memulakan kerja-kerja menyelamat.

“Kebanyakan mangsa yang cedera telah berkumpul di bahagian luar hadapan bas.

“Mangsa yang disahkan meninggal dunia pula disusun di bahu jalan... ada yang kami temui dalam longkang dan di atas besi pembahagi jalan.

“Ada antara mereka dalam keadaan yang sudah tidak sempurna,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azizan melihat semula lokasi mangsa yang telah disahkan meninggal dunia disusun di bahu jalan, ada yang ditemui dalam longkang dan atas besi pembahagi jalan.
Mohd Azizan melihat semula lokasi mangsa yang telah disahkan meninggal dunia disusun di bahu jalan, ada yang ditemui dalam longkang dan atas besi pembahagi jalan.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, seramai 15 pelajar disahkan meninggal dunia, manakala 27 yang lain cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik serta Hospital Baling di Kedah.

Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya yang berusia 54 tahun.

Nahas dipercayai berlaku apabila bas terbabit melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki empat sekeluarga, lalu hilang kawalan sebelum terbalik dan merempuh pembahagi jalan.

Mohd Azizan berkata, seramai enam mangsa dikeluarkan dari dalam perut bas, dua daripadanya masih hidup, manakala empat lagi disahkan meninggal dunia.

Katanya, meskipun tiada mangsa tersepit dalam kejadian itu, keadaan fizikal bas yang remuk teruk menyukarkan operasi menyelamat.

“Bahagian tepi dan belakang bas tidak dapat diakses, jadi untuk sampai kepada mangsa, kami terpaksa memotong bumbung bas,” katanya.

Mohd Azizan yang telah berkhidmat selama sembilan tahun dalam pasukan bomba mengakui bahawa operasi menyelamat kali ini adalah yang paling teruk pernah dikendalikannya kerana melibatkan jumlah mangsa dan kematian yang besar.

“Sepanjang perkhidmatan saya, ini kemalangan yang melibatkan jumlah mangsa paling ramai, iaitu seramai 48 orang (44 daripada bas dan empat dari MPV),” katanya.

Operasi menyelamat disertai 17 anggota bomba, dibantu oleh Balai Bomba dan Penyelamat Jeli. Turut terlibat dalam operasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!