'Saya dengar pemandu bas marah-marah ' - Pelajar UPSI

Antara pelajar UPSI yang kini menerima rawatan di Hospital Gerik selepas mengalami kecederaan dalam nahas bas mengorbankan 15 pelajar lain.
Antara pelajar UPSI yang kini menerima rawatan di Hospital Gerik selepas mengalami kecederaan dalam nahas bas mengorbankan 15 pelajar lain.
A
A
A

GERIK - "Saya tersedar bila terdengar pemandu marah-marah. Tak tahu dia marah siapa, tapi lepas itu bas terus terhuyung-hayang dan terbalik."

Demikian perkongsian seorang mangsa yang terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini pada Isnin.

Farhana
Farhana

Farhana Ab Aziz, 23, berkata, dia sempat terdengar bunyi bising dari arah tempat duduk pemandu dan melihat lelaki berkenaan dalam keadaan seperti sedang marah, sebelum bas dipandu laju dan tidak stabil.

"Semasa bas bergerak dari Jertih, saya tidur, tetapi sekitar jam 12.45 tengah malam, saya terjaga sebab terdengar suara pemandu marah-marah.

"Butiran marah tak berapa jelas, sama ada dia marah keadaan bas atau sebab kereta di hadapan, saya tak pasti," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Gerik.

Menurut Farhana, beberapa pelajar lain yang tidak tidur ada menjenguk untuk mengetahui situasi yang berlaku.

Tidak lama selepas itu katanya, bas berkenaan bergerak dalam keadaan terhuyung-hayang dan terus terbalik.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan dalam bas ramai yang pengsan. Saya dan rakan lain yang sedar cepat-cepat cari laluan terbuka untuk keluar dari bas.

"Saya takut terpijak kawan-kawan lain," katanya.

Seorang lagi pelajar, Rohadatul Aisy Mohd Zaki, 20, berkata, dia menyedari bas dipandu laju selepas dikejutkan rakan beberapa saat sebelum kejadian.

"Saya tercampak ke laluan tengah. Rasa sesak sangat nak bergerak. Kawan cuba tarik, tetapi saya tak mampu bangun.

"Selepas beberapa minit baru saya dapat kuatkan diri keluar dari bas," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi pada Isnin itu, 15 pelajar disahkan meninggal dunia sementara 27 yang lain cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik.

Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya yang berusia 54 tahun.

Nahas dipercayai berlaku apabila bas terbabit melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan hilang kawalan sebelum terbalik merempuh pembahagi jalan.

Dalam kejadian itu, empat sekeluarga yang menaiki MPV terbabit terselamat dengan mengalami cedera dan dirawat di Hospital Baling, Kedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!