Lebih 70 peratus keadaan jalan raya Timur-Barat hubung Gerik-Jeli kritikal

SHAH ALAM - Lebih 70 peratus keadaan jalan di laluan Timur-Barat yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan berada dalam keadaan kritikal dan masih teruk.
Bekas Ketua Pemuda UMNO Gerik, Mohd Rizairi Jamaluddin berkata, walaupun pelbagai tindakan telah diambil kerajaan, jalan raya itu masih kekal sebagai laluan utama bagi kenderaan berat dan bas persiaran.
"Jika diikutkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan lawatan ke kawasan ini tahun lalu dan kerajaan kini telah memulakan kerja-kerja penurapan semula.
"Namun begitu, kerja tersebut tidak melibatkan keseluruhan laluan dan kerosakan jalan masih banyak berlaku di jalan raya berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilaporkan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menjelaskan, bas persiaran berkenaan telah disewa secara persendirian oleh pelajar sempena cuti Hari Raya Aidiladha.
Kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke kampus selepas bercuti di kampung halaman sekitar Jertih dan Hulu Terengganu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, seramai 15 pelajar disahkan maut, manakala selebihnya mengalami kecederaan pelbagai tahap dan sedang dirawat di Hospital Gerik serta Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Tambah Mohd Rizairi, masalah utama yang dikenal pasti di jalan Timur-Barat hubung Gerik-Jeli adalah kekurangan lampu jalan.
"Pemasangan lampu solar amat diperlukan bagi memastikan pencahayaan yang mencukupi di sepanjang laluan secara menyeluruh," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob berkata, pelebaran jalan amat diperlukan ketika ini sebagai usaha menaik taraf laluan berkenaan bagi menjamin keselamatan serta kesesuaian dengan keperluan trafik semasa.
Menurutnya, jalan raya yang telah berusia hampir 60 tahun itu kini menunjukkan kerosakan pada strukturnya dan tidak lagi berada dalam keadaan baik.
"Saya cadangkan keutamaan diberikan kepada pelebaran jalan. Selain itu, keseluruhan permukaan jalan perlu diturap semula secara menyeluruh. Struktur sedia ada perlu dikorek dan diganti tampalan baharu sepenuhnya kerana pendekatan sebelum ini hanya melibatkan kerja-kerja tampalan, kos mencecah RM150,000 bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, ia juga tidak memberikan penyelesaian jangka panjang.
Selain itu katanya pihaknya telah meminta ditubuhkan sebuah unit Pasukan Khas Tindak Cepat (QRT) untuk bersiap sedia di sebuah pusat yang dilengkapi dengan mini klinik, ambulans, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahupun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
"Jadi, sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian kecemasan, pasukan inilah yang akan tiba terlebih dahulu. Ketika ini, mengambil masa satu hingga dua jam untuk sampai dari Gerik ke lokasi kejadian.
"Saya juga telah memohon agar perkara ini disegerakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun. Malah, wakil rakyat sebelum ini saya juga pernah membawa perkara ini, namun ia seolah-olah dipandang enteng," katanya.
Ujar Fathul Huzir lagi, sudah tiba masanya Gerik memiliki sebuah hospital baharu yang lengkap dengan segala kemudahan khususnya pakar perubatan.
Ini kerana jelasnya, jarak perjalanan ke Ipoh dan Taiping yang begitu jauh menyukarkan urusan kecemasan terutama melibatkan nyawa.
"Satu lagi, menjadi harapan penduduk Gerik untuk dibina terowong hidupan liar bagi mewujudkan laluan selamat haiwan berkenaan. Inilah empat perkara yang paling penting ketika ini bagi kawasan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

