JKR akan pasang 385 lampu jalan solar di JRTB Gerik-Jeli

IPOH – Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memasang sebanyak 385 lampu jalan jenis solar di laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, termasuk di kawasan lokasi nahas bas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pengarah JKR Perak, Ir Zamri Mat Kasim berkata, keputusan pemberian tender bagi pemasangan lampu jalan tersebut dijangka diketahui pada Julai tahun ini.
Menurutnya, kemalangan yang berlaku pada awal pagi Isnin itu bukan berpunca daripada keadaan jalan yang gelap, sebaliknya kelajuan kenderaan seperti yang dilaporkan oleh pihak polis.
“Lampu jalan serta keadaan gelap bukan punca utama kemalangan. Kawasan tersebut juga telah mendapat peruntukan untuk diturap semula permukaan jalan serta garisan jalan.
“Pemantauan terkini di tapak mendapati permukaan jalan dalam keadaan baik dan tiada lubang. Perabot jalan juga sempurna seperti penghadang jalan, chevron dan papan tanda,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Selasa.
Zamri berkata, pasukan forensik Cawangan Jalan dari Ibu Pejabat JKR kini berada di lokasi kejadian untuk menjalankan kajian dan menyediakan laporan lanjut.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, seramai 15 pelajar disahkan maut manakala 27 lagi cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik serta Hospital Baling, Kedah.
Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya yang berusia 54 tahun.
Nahas dipercayai berlaku apabila bas terbabit hilang kawalan sebelum terbalik dan merempuh pembahagi jalan serta melanggar sebuah Perodua Alza.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

