PM zahir dukacita, arah bantuan kepada keluarga mangsa nahas bas UPSI

Anwar.
Anwar.
A
A
A

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa dukacita mendalam susulan tragedi nahas jalan raya yang berlaku awal pagi Isnin berhampiran Gerik, Perak.

Insiden yang membabitkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain itu telah meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Saya dan Azizah amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik... mengorbankan 15 pelajar.

"Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan agar kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini,” luah Perdana Menteri dalam kenyataan pada Isnin.

Susulan tragedi itu, Anwar memaklumkan beliau telah mengarahkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyelaras bantuan sewajarnya kepada semua keluarga mangsa.

“Musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi,” tambahnya.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1.10 pagi Isnin itu melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, sebelum terlibat dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Menurut maklumat daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hulu Perak, seramai 48 individu berada dalam kenderaan terbabit termasuk seorang pemandu, pembantu bas serta beberapa penumpang di dalam sebuah Perodua Alza yang turut terlibat.

Seramai 13 mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.

Mangsa yang cedera pula dibawa ke zon merah, kuning dan hijau di hospital untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan media berasingan, Naib Canselor UPSI memaklumkan bahawa bas terbabit dalam perjalanan pulang selepas pelajar selesai menjalani program khidmat masyarakat di Kelantan.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan tragedi itu sebagai satu kehilangan besar kepada sektor pendidikan tinggi negara.

Beliau turut menegaskan bahawa segala bantuan termasuk sokongan psikososial, logistik dan kebajikan sedang diatur bersama pihak UPSI.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!