Siapa perlu bertanggungjawab dalam isu sekatan perjalanan Fahmi Reza

ISU melibatkan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza, kembali mencuri perhatian apabila beliau mendakwa kini tidak dibenarkan keluar negara, hanya seminggu selepas insiden dirinya dihalang memasuki Sabah.
Dalam satu hantaran di platform media sosial, Fahmi mendakwa dirinya telah disenarai hitam oleh Bukit Aman tanpa sebarang notis atau penjelasan, menyebabkan beliau tidak dibenarkan menaiki pesawat ke luar negara. Beliau turut mempersoalkan asas sekatan tersebut.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menjelaskan bahawa tiada sekatan rasmi dikenakan terhadap aktivis itu.
Sebaliknya, nama Fahmi hanya dimasukkan dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata.
Susulan itu, Fahmi yang dikenali sebagai pelukis satira politik, meluahkan rasa kecewa terhadap kerajaan dan pihak berkuasa kerana didakwa gagal mengambil tanggungjawab berhubung insiden yang menyebabkan beliau tidak dibenarkan ke Singapura pada Sabtu lalu.
Menurutnya, beliau bukan sahaja mengalami kesulitan dan kerugian, malah haknya untuk bergerak secara bebas telah dinafikan tanpa alasan yang munasabah.
Fahmi turut mempersoalkan sikap kerajaan yang didakwanya enggan mengakui sebarang kesilapan, meskipun beliau telah mengalami kesan langsung daripada insiden berkenaan.
Jika benar tiada arahan sah dikeluarkan, maka sekatan yang dikenakan ke atasnya adalah tidak berasas dan boleh mencemarkan imej institusi serta merosakkan kepercayaan awam.
Persoalan kini timbul: siapakah yang akan bertanggungjawab terhadap kerugian tersebut? Apakah kerajaan akan memohon maaf secara rasmi dan memperbaiki kelemahan dalam sistem sedia ada?
Isu ini bukan sekadar membabitkan Fahmi secara peribadi, sebaliknya menyentuh prinsip asas kebebasan, keadilan dan kebertanggungjawaban institusi.
Kerajaan digesa menjalankan siasatan menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca sebenar insiden ini. Jika berlaku kecuaian atau penyalahgunaan kuasa, tindakan tegas mesti diambil terhadap individu atau pihak yang bertanggungjawab.
Dalam era Malaysia Madani yang menjunjung nilai hak asasi dan reformasi institusi, insiden sebegini tidak seharusnya berlaku.
Jika tidak ditangani secara tuntas, ia berpotensi menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

