DAPSY tak setuju kerajaan sekat Fahmi Reza ke luar negara

SHAH ALAM – Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) tidak bersetuju dengan tindakan Kerajaan Madani melarang aktivis dan artis grafik, Fahmi Reza ke luar negara selepas beliau turut disenarai hitam daripada memasuki Sabah baru-baru ini.
Ketuanya, Woo Kah Leong berkata, tidak sepatutnya seseorang yang hanya menyindir melalui lukisan dan tulisan disekat pergerakannya ke mana-mana.
"Kalau tulisan atau lukisannya benar-benar melanggar peruntukan undang-undang, hadapkan sahaja individu tersebut ke muka pengadilan dan biarkan hakim yang membuat keputusan.
"Bukannya melaksanakan kuasa pentadbiran dengan melarangnya ke luar negara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, DAPSY tidak sesekali bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa yang melarang Fahmi Reza daripada ke luar negara.
"Imej pentadbiran Madani tidak seharusnya dicalarkan oleh tindakan sebegini.
"Rakyat sedang memerhati dan larangan ini harus ditarik balik serta-merta tanpa sebarang syarat," ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan Fahmi mendakwa dirinya dilarang ke luar negara selepas disenarai hitam daripada memasuki Sabah baru-baru ini.
Perkara itu dikongsikan beliau menerusi Facebook pada Sabtu, apabila dimaklumkan pegawai imigresen ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki penerbangan ke Singapura.
Menurut Fahmi, minggu lalu beliau turut dilarang memasuki Sabah hanya kerana lukisannya yang mengkritik pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dan kini sekali lagi disenarai hitam, kali ini dilarang ke luar negara oleh Kerajaan Madani.
"Saya hendak ke Singapura untuk menyaksikan persembahan secara langsung kumpulan kegemaran saya, iaitu Slant dari Korea dan Sial dari Singapura.
"Saya ke sana dua hari satu malam dan sampai di KLIA pada jam 9.35 pagi. Seperti biasa, saya ditahan di kaunter imigresen pelepasan antarabangsa dan diminta duduk di pejabat imigresen sementara pegawai membuat semakan dengan TCO (Pejabat Kawalan Perjalanan)," katanya.
Beliau berkata, selepas selesai semua urusan termasuk pemerolehan salinan pas kebenaran berlepas serta tiket penerbangan, pegawai imigresen memaklumkan bahawa Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tidak memberi kebenaran kepadanya untuk ke luar negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
