Simpan RM60 sebulan, cukup untuk satu bahagian

KUALA TERENGGANU - Konsep tabungan bulanan yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Terengganu memberi peluang kepada lebih ramai umat Islam termasuk golongan mualaf untuk menyertai ibadah korban pada tahun ini.
Setiausaha Kehormat Perkim Terengganu, Abd Ghafar Mamat berkata, kaedah menabung secara bulanan membolehkan peserta mengumpul jumlah mencukupi bagi satu bahagian korban menjelang Aidiladha.
"Bermula tahun ini, kita perkenalkan program Tabung Korban secara bulanan, di mana peserta menyimpan RM60 sebulan. Selepas cukup tempoh, mereka berjaya mengumpul RM660 untuk satu bahagian korban.
"Seramai 30 peserta telah menyertai kaedah ini tahun ini, dan hasilnya, mereka dapat menunaikan ibadah korban tanpa beban kewangan atau perlu membuat bayaran sekaligus," katanya ketika ditemui Sinar Harian sempena program korban dan akikah Perkim Terengganu di sini pada Ahad.
Tambah beliau, kaedah tabungan ini diyakini mampu menarik lebih ramai penyertaan pada masa akan datang, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.
"Kita galakkan kaedah ini supaya umat Islam yang kurang berkemampuan tidak rasa terbeban dan masih berpeluang menunaikan ibadah korban. Tahun depan, tabung ini akan dibuka semula supaya lebih ramai yang dapat menyertainya," katanya.
Abd Ghafar yang juga Pengerusi Tetap Perkim Kebangsaan berkata, program korban tahun ini menyaksikan penyertaan yang lebih menggalakkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
"Sebanyak 15 ekor lembu dikorbankan dengan penyertaan umat Islam dari seluruh Terengganu, termasuk 80 orang mualaf yang turut menerima agihan daging bersama keluarga dan saudara-mara mereka," ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa seramai 70 sukarelawan terlibat dalam menguruskan keseluruhan proses penyembelihan, penyediaan dan pengagihan daging korban.
Sementara itu, seorang peserta korban Perkim, Che Aisyah Che Mat, 42, dari Kampung Tok Dir berkata, beliau menyertai ibadah korban setiap tahun kerana kemudahan menabung secara bulanan.
"Bila boleh simpan bulan-bulan, lebih mudah untuk sertai korban. Setiap tahun makin ramai yang ikut serta, dan saya harap konsep ini diteruskan pada masa akan datang," katanya.
Seorang lagi peserta, Mohd Mu’min Abdullah, 47, yang berasal dari Sabah dan kini menetap di Kuala Berang berkata, suasana ibadah korban tahun ini tetap meriah meskipun berdepan kos sara hidup yang tinggi.
"Walaupun barang mahal, saya bersyukur kerana daging korban banyak dan proses agihan sangat meriah. Saya juga menjadi sukarelawan membantu mengagihkan daging kepada mereka yang memerlukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!