Kabinet tanpa TPM kurangkan ‘politiking’

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Dr Kamarul Zaman Yusoff )
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Dr Kamarul Zaman Yusoff )
A
A
A

ALOR SETAR - Kabinet tanpa jawatan Timbalan Perdana Menteri mampu mengurangkan ‘politiking’ rentetan parti yang tidak terpilih berkemungkinan tidak berpuas hati jika wakil dari parti mereka dipinggirkan.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri akan membolehkan tumpuan diberikan sepenuhnya kepada urusan pentadbiran, tanpa kemungkinan ada ‘politiking’.

Menurutnya, ini kerana jawatan Timbalan Perdana Menteri sering menjadi rebutan antara ahli-ahli politik dalam pentadbiran sebelum ini, maka ketiadaan jawatan itu menghapuskan satu punca pertikaian.

“Jika individu daripada UMNO diberikan jawatan itu, kemungkinan wakil parti lain tidak puas hati. Mengosongkan jawatan itu dapat memastikan saingan sihat di kalangan pemimpin yang menyasarkan jawatan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan Kabinetnya yang menyaksikan pelantikan 32 menteri dan 38 timbalan menteri.

“Ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri akan membolehkan semua parti politik yang menyertai kerajaan mempunyai peluang dan mendapat layanan sama rata, termasuk peluang diangkat sebagai Perdana Menteri seterusnya,” katanya.

Menurutnya, lagi pun langkah mengosongkan jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada diisi oleh mana-mana pemimpin juga tidak melanggari mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, jadi boleh ditiadakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kamarul Zaman berkata lagi, mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri memerlukan kepada perjawatan-perjawatan khas selain beberapa keistimewaan lain, jadi mentiadakan jawatan itu akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

“Tahniah wajar diberikan kepada Perdana Menteri kerana berani keluar dari amalan konvensional dengan melakukan perubahan ini,” katanya.

Dalam pada itu Kamarul Zaman berpandangan, penambahan bilangan menteri dan timbalan menteri dari Malaysia timur adalah langkah bijak dalam memastikan sokongan lebih baik dari Sabah dan Sarawak.

“Muhyiddin perlu dapatkan seramai mungkin Ahli Parlimen dari pelbagai parti gabungannya bagi mengelak mereka menyokong blok lain,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini melantik empat menteri penuh dan tiga timbalan menteri dari Malaysia Timur, manakala Muhyiddin melantik enam menteri penuh dan 11 timbalan menteri.