Petani tempatan dakwa wujud 'kartel Bangladesh' kuasai kebun sayur di Melaka

MELAKA - Pendapatan petani tempatan didakwa terjejas susulan kewujudan ‘kartel Bangladesh’ yang dipercayai mengusahakan kebun sayuran di negeri ini.
Seorang pekebun tempatan mendedahkan bahawa mereka kini terpaksa bersaing dengan petani warga asing yang menawarkan harga lebih rendah daripada harga pasaran.
“Memang betul wujud kartel Bangladesh disebabkan lambakan kebun milik warga asing ini yang menyebabkan pekebun kecil seperti kami terpaksa ikut harga yang ditetapkan oleh mereka,” luahnya kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Perkara itu dikongsikan menerusi satu video yang dimuat naik di akaun TikTok milik Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Rais Yasin ketika beliau turun meninjau usahawan kebun sayur di Sungai Udang di sini.
Pekebun itu turut mendakwa mereka berdepan tekanan harga daripada peraih yang membeli hasil pertanian dengan harga rendah tetapi menjual semula di pasaran dengan harga lebih tinggi.
“Kalau banding harga di pasar, bendi dijual RM2 tetapi diambil dari kebun hanya RM1.
“Masa zaman Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dulu, mereka tawarkan harga lebih tinggi. Contohnya, kalau peraih ambil RM1, FAMA pula tawarkan RM1.50. Jadi, petani dapat untung 50 sen,” katanya.
Tambahnya lagi, sebelum ini dia pernah membekalkan hasil tanamannya kepada pengusaha yang beroperasi di Hospital Melaka, namun tidak lagi berbuat demikian selepas kontrak pengusaha berkenaan di hospital itu tamat.
Sementara itu, Muhamad Akmal memaklumkan bahawa beliau sebelum ini telah memohon peruntukan sebanyak RM3 juta daripada Kementerian Kewangan bagi membangunkan sebuah aplikasi pintar seumpama ‘Food Panda’, namun khusus untuk tujuan pemasaran hasil pertanian.
Menurutnya, aplikasi tersebut bertujuan membantu petani memasarkan hasil tanaman mereka secara terus kepada pengguna menerusi platform dalam talian tanpa melibatkan orang tengah.
“Melalui aplikasi ini, pengguna boleh membeli terus daripada petani. Ada petani yang bersedia menghantar hasil terus dari kebun ke rumah pengguna yang membuat tempahan.
“Kaedah ini membolehkan peniaga tempatan meletakkan harga sedikit tinggi, namun pengguna masih dapat membeli pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa permohonan peruntukan itu tidak diluluskan, menyebabkan projek perintis bagi pembangunan aplikasi tersebut tidak dapat diteruskan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau akan menyemak dengan pihak FAMA mengenai kaedah terbaik yang boleh digunakan bagi membantu pekebun kecil memasarkan hasil tanaman mereka tanpa perlu bergantung kepada peraih.
Pada masa sama, beliau juga akan mencadangkan agar institusi pendidikan seperti MARA mendapatkan bekalan makanan secara terus daripada petani tempatan bagi memperoleh harga yang lebih rendah berbanding pembelian di pasaran biasa, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan petani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

