Anwar fail rayuan, tidak puas hati gagal persoalan undang-undang

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan di sini berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya berkaitan isu imuniti daripada sebarang saman sivil.
Presiden PKR itu memfailkan notis rayuan berkenaan pada Rabu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman di Putrajaya menerusi firma guaman Tetuan Zain, Megat & Murad.
Peguam Datuk Seri K. Rajasegaran yang mewakili Anwar, 78, selaku defendan mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi media pada Khamis.
Menurut notis rayuan itu, beliau berkata rayuan dibuat kerana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain pada Rabu.
“Pihak kami merayu terhadap keseluruhan keputusan itu yang telah menolak permohonan anak guam dengan kos sebanyak RM20,000.
“Bagaimanapun, tarikh pengurusan kes bagi permohonan itu belum ditetapkan,” katanya.
Ditanya mengenai permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kes saman sivil oleh bekas penyelidik Anwar, Muhammed Yusoff Rawther, peguam itu berkata, pihaknya perlu mendapatkan nombor rujukan kes di Mahkamah Rayuan terlebih dahulu.
“Selepas itu, barulah permohonan penangguhan dilampirkan bersama notis perakuan segera. Harap boleh diperoleh sebelum 16 Jun ini (hari pertama perbicaraan kes),” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah menetapkan perbicaraan kes saman Yusoff itu bermula 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun ini.
Pada Rabu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang selepas Hakim Roz Mawar Rozain mendapati permohonan itu tidak memenuhi keperluan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA).
Ketika membaca keputusan tersebut, hakim menyatakan tiada satu pun peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menimbulkan persoalan undang-undang perlembagaan yang nyata, substantif atau boleh diadili sehingga memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan atau Seksyen 84 CJA 1964.
Pada 23 Mei lalu, Anwar memohon Mahkamah Tinggi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan, antaranya sama ada beliau mempunyai imuniti daripada tindakan saman sivil termasuk yang difailkan oleh Yusoff.
Dalam permohonan itu, Anwar memohon Mahkamah Persekutuan menilai sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikan kekebalan bersyarat kepada seorang Perdana Menteri daripada tindakan saman tersebut.
Beliau turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman berkenaan boleh menjejaskan keupayaan beliau menjalankan tugas eksekutif serta melanggar prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.
Selain itu, Anwar juga memohon mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar haknya untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, khususnya kerana beliau mendakwa saman itu merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Untuk rekod, Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada tahun 2021 atas dakwaan telah diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.
Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Saman tersebut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

