Covid-19: Terengganu sedia gerakkan pasukan perubatan

Nor Azimi (tengah) meninjau Program Derma Darah sempena sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri Terengganu di lobi menunggu pelawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini.
Nor Azimi (tengah) meninjau Program Derma Darah sempena sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri Terengganu di lobi menunggu pelawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu sedia menggerakkan pasukan perubatan ke lokasi terlibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) sekiranya memerlukan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia berdasarkan situasi semasa wabak itu di negara ini yang menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini.

"Kita bersedia sebab kita tahu sekarang di seluruh negara, negeri yang teruk dilanda wabak ini ialah yang banyak melakukan aktiviti.

"Di Terengganu setakat ini masih belum ada kes (positif) Covid-19 dan hanya melibatkan kes Patient Under Investigation (PUI).

"Apa yang kita lihat di negeri lain terdapat kes positif yang memerlukan rawatan khusus, sekiranya berlaku limpahan pesakit di mana-mana hospital, kita sedia menghantar sama ada doktor, jururawat atau pegawai perubatan untuk membantu," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Derma Darah sempena sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, orang ramai tidak perlu khuatir terhadap status darah yang terkumpul hasil derma daripada orang awam susulan penularan wabak Covid-19.

Katanya, ia kerana penderma perlu melalui proses saringan yang ketat sebelum dibenarkan untuk menjalani proses derma darah.

"Setiap penderma akan dipastikan memiliki tahap kesihatan yang baik sebelum dibenarkan menderma darah.

Artikel Berkaitan:

"Darah yang terkumpul juga akan disaring sebagai langkah bagi memastikan ia selamat untuk digunakan," katanya sambil menyasarkan kutipan sebanyak 21,000 pain darah bagi tahun ini.

Dalam pada itu, Nor Azimi berkata, walaupun penularan wabak Covid-19 sedikit sebanyak mengalih tumpuan awam, pihak kesihatan terus memberi tumpuan terhadap wabak lain seperti denggi.

"Kita mempunyai pasukan khas bagi menangani dan sentiasa memantau wabak denggi yang juga merupakan salah satu penyakit yang turut mengancam nyawa.

"Jadi, tumpuan terhadap penyakit-penyakit berjangkit yang lain tidak terjejas susulan penularan wabak Covid-19," katanya.