Pelancong ceroboh tapak Tentera Terracotta, rosakkan dua patung purba

CHINA – Seorang pelancong lelaki menerima kecaman hebat selepas menceroboh kawasan terlindung dan merosakkan dua patung purba yang berada di tapak Tentera Terracotta di Xi’an, China.
Menurut NewsFlare, The Daily Mail dalam kejadian pada Jumaat lalu, lelaki berusia 30 tahun yang hanya dikenali sebagai Sun bertindak melompat masuk ke dalam salah satu lubang pameran.
Dia dilaporkan melangkaui beberapa penghadang keselamatan termasuk palang besi dan jaring penghalang.
Sun didakwa turun ke dalam lubang sedalam lebih lima meter yang menempatkan patung tanah liat berusia lebih 2,000 tahun.
Kemudian, dia dilihat menarik beberapa patung berkenaan hingga menyebabkan kerosakan ketara pada sekurang-kurangnya dua daripadanya.
Dalam pada itu, tindakannya terhenti selepas pasukan keselamatan tiba dan menahannya serta dimaklumkan bahawa Sun mengalami masalah kesihatan mental.
Susulan kejadian itu, pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian yang berlaku.
Sementara itu, pakar juga sedang menilai tahap kerosakan dan kaedah terbaik untuk memulihkan patung yang terjejas.
Jelas media tempatan, lubang yang diceroboh oleh Sun merupakan sebahagian daripada kompleks besar yang dibina bagi mengawal makam Maharaja Pertama China, Qin Shi Huang.
Bagaimanapun, pihak muzium memaklumkan, walaupun insiden itu menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku, namun tapak berkenaan masih dibuka kepada orang ramai untuk dilawati.
Untuk rekod, tapak tersebut mengandungi ratusan lubang yang dipenuhi lebih 8,000 arca termasuk patung askar, kuda, kereta kuda, pemuzik, akrobat dan pegawai istana.
Ia ditemui oleh petani tempatan pada tahun 1974 dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta menjadi antara lokasi arkeologi paling penting di China.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
