Malaysia catat peningkatan 20 peratus carian pelancong Eropah - Agoda

SHAH ALAM - Platform pelancongan digital, Agoda mengumumkan Malaysia mencatatkan peningkatan 20 peratus dalam carian berbanding tahun lepas oleh pelancong Eropah.
Pengarah Negara bagi Malaysia dan Brunei di Agoda, Fabian Teja berkata, Malaysia juga kekal sebagai destinasi Asia keempat dengan carian tertinggi pelancong Eropah untuk tahun kedua berturut-turut, menjelang cuti musim panas di negara itu.
Menurutnya, ia dapatan daripada laporan Agoda, 'Trend Percutian Musim Panas Eropah ke Asia' berdasarkan carian penginapan untuk percutian pada bulan Julai dan Ogos, iaitu bulan kemuncak cuti musim panas bagi pelancong Eropah.
"Thailand, Indonesia dan Jepun meraih kedudukan tiga teratas, manakala Vietnam muncul buat kali pertama di tempat kelima dalam senarai tersebut. Destinasi carian tertinggi di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Pulau Perhentian dan Langkawi.
"China, yang mendapat manfaat daripada pengecualian visa yang diperkenalkan untuk beberapa pasaran Eropah, menunjukkan peningkatan 14 peratus, manakala Sri Lanka meningkat sebanyak 13 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, Perancis, Itali, Sepanyol, United Kingdom (UK) dan Netherlands kekal sebagai lima pasaran Eropah yang menjana carian tertinggi untuk perjalanan ke Malaysia, dengan sedikit perubahan kedudukan apabila Sepanyol mendahului UK berbanding tahun lepas.
Sementara itu, Perancis ( 95 peratus), Republik Czech ( 95 peratus) dan Poland ( 74 peratus) mencatatkan peningkatan carian tahun ke tahun tertinggi, mencerminkan minat yang semakin meningkat serta daya tarikan Malaysia yang semakin menyerlah dalam kalangan pelancong Eropah.
"Warisan budaya yang kaya, keindahan alam semula jadi yang menakjubkan, dan keramahan warga Malaysia terus menarik perhatian pelancong yang mencari pelbagai pengalaman unik dan autentik.
"Peningkatan 20 peratus dalam carian tahun ini menunjukkan semakin ramai warga Eropah yang berminat untuk meneroka pelbagai tarikan ditawarkan di Malaysia semasa cuti musim panas mereka," katanya.
Ujarnya lagi, sebagai pakar pelancongan di Asia, Agoda berbangga dapat membantu para pelancong untuk menerokai kedua destinasi popular dan juga yang sedang meningkat naik di rantau ini.
Menurutnya, Agoda kekal komited dalam membantu para pelancong untuk bercuti ke serata dunia dengan tawaran terbaik.
"Dengan adanya lebih lima juta tempat penginapan, 130,000 laluan penerbangan dan 300,000 aktiviti liburan, Agoda melancarkan proses merancang percutian serta menampilkan tawaran hebat.
"Layari Agoda.com atau muat turun aplikasi Agoda untuk menikmati tawaran eksklusif musim panas ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

