Cacat, kelaparan dan dilupakan: Derita dua beradik di Gaza

Aseel (kiri) dan Afaf yang mengalami kecacatan serta penyakit seliak, duduk di dalam khemah keluarga mereka di utara Gaza. Foto Noor Al-Halabi/Al Jazeera
Aseel (kiri) dan Afaf yang mengalami kecacatan serta penyakit seliak, duduk di dalam khemah keluarga mereka di utara Gaza. Foto Noor Al-Halabi/Al Jazeera
A
A
A

GAZA – Di sebalik hiruk-pikuk kem pelarian sesak di Shati, dua beradik cacat terlantar tanpa bantuan, terperangkap dalam penderitaan yang kian dipinggirkan dunia.

Aseel dan Afaf Abu al-Eish, masing-masing menghidap penyakit seliak – sejenis gangguan sistem imun yang menyebabkan usus kecil rosak apabila pesakit memakan makanan yang mengandungi gluten seperti gandum, selain turut mengalami kecacatan intelektual yang mengganggu pertuturan, pemahaman dan tingkah laku mereka.

Kini, mereka hidup dalam sebuah khemah sempit dan panas bersama lima ahli keluarga lain, termasuk ibu bapa uzur dan adik perempuan mereka, Raneem, yang menjadi satu-satunya penjaga.

“Kehidupan dalam khemah ini sangat memeritkan. Tiada makanan, tiada ubat, malah untuk menukar pakaian pun terpaksa tunggu orang lain keluar,” kata Raneem, sambil mengesat air mata.

Lebih menyedihkan, Aseel dan Afaf sering menjadi bahan ejekan dan cemuhan, terutama oleh kanak-kanak yang tidak memahami keadaan mereka.

“Mereka bukan gila. Mereka perlukan kasih sayang, bukan hinaan,” luah Raneem.

Aseel menyiram sepohon pokok kecil di dalam khemah sempit keluarganya di utara Gaza. Foto Noor Al-Halabi/Al Jazeera
Aseel menyiram sepohon pokok kecil di dalam khemah sempit keluarganya di utara Gaza. Foto Noor Al-Halabi/Al Jazeera

Aseel mudah panik jika suasana bising, manakala Afaf pula sering bertindak luar kawalan apabila tertekan, namun tiada siapa tampil membantu.

Enam bulan lalu, nasib keluarga ini bertambah malang apabila adik lelaki mereka, Mohammad, ditahan tentera Israel ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kamal Adwan.

Artikel Berkaitan:

Mohammad selama ini yang menguruskan keperluan ubat, rawatan dan bekalan makanan khas untuk dua beradik itu.

“Dialah pelindung mereka. Sejak dia ditahan, semuanya terputus,” kata Raneem.

Tanpa makanan khas bebas gluten yang sangat diperlukan pesakit seliak, Aseel dan Afaf kini berisiko menghadapi malnutrisi serius. Roti gandum yang diagih sebagai bantuan tidak sesuai untuk mereka dan boleh merosakkan usus.

Sejak rumah mereka di Kem Jabalia musnah lapan bulan lalu, keluarga ini berpindah dari satu tempat ke tempat lain – dari rumah saudara ke sekolah PBB yang sesak, sebelum terpaksa mendirikan khemah sendiri.

“Kami bukan saja mangsa perang, kami juga penjaga kepada insan kurang upaya yang sering dilupakan,” kata Raneem.

Menurut pakar psikologi tempatan, Dr Sara al-Wahidi, lebih 15 peratus pelarian di Gaza kini hidup dengan pelbagai bentuk kecacatan, namun kem perlindungan tidak menyediakan kemudahan asas seperti tandas mesra OKU atau ubat-ubatan khas.

“Sistem tidak peduli nasib mereka,” katanya.

Dalam keadaan perang yang tidak menentu, Raneem hanya mengharapkan satu perkara iaitu faham dan belas ihsan daripada masyarakat.

“Kami bukan minta mewah. Kami cuma mahu mereka dilayan sebagai manusia," ujaranya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!