Suami gagal kawal emosi, isteri jadi korban

SECARA lumrah, suami dianggap sebagai pemimpin dan pelindung dalam institusi keluarga.
Bagaimanapun, konflik rumah tangga yang tidak ditangani dengan baik boleh mencetuskan tragedi, termasuk berlakunya jenayah keganasan rumah tangga.
Tekanan emosi, pergaduhan berpanjangan dan kurangnya saluran penyelesaian sering menjadi punca pasangan bertindak di luar kawalan.
Lebih menyedihkan, suami yang dianggap pelindung sebenarnya menjadi ancaman sehingga mengancam nyawa.
Ada kes di mana si suami bertindak ganas dalam keadaan sedar, tanpa sebarang pengaruh dadah atau alkohol.
Ini menunjukkan bahawa keganasan tersebut bukan disebabkan hilang kawalan secara tiba-tiba, tetapi berpunca daripada masalah kawalan emosi, kemarahan, dendam atau keinginan untuk menguasai pasangan.
Misalnya, pada Isnin lalu seorang isteri maut selepas dipercayai dikelar suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir.
Menurut sumber, suspek yang berusia lingkungan 30-an itu turut dipercayai cuba membakar rumah ibu mentuanya di Lenga, Pagoh, Muar, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari kediamannya.
Tindakan suspek itu bagaimanapun tidak berjaya dan hanya sempat membakar beberapa kenderaan yang berada di bahagian luar rumah.
Suspek kemudiannya berjaya diberkas polis selepas pulang ke kediamannya di Bukit Gambir pada pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib ketika dihubungi mengesahkan mayat mangsa ditemui dalam keadaan berselubung dan sebilah pisau berlumuran darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dijumpai berhampiran wanita tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah.
Dalam banyak kes, kegagalan untuk mengurus tekanan hidup, kewangan atau cemburu keterlaluan menjadi pencetus kepada perbuatan kejam terhadap pasangan.
Oleh itu, sudah tiba masanya undang-undang dan sistem sokongan diperkasa agar wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga tidak lagi terus hidup dalam ketakutan.
Suami yang sepatutnya menjadi pelindung keluarga harus dipertanggungjawabkan jika mereka sendiri menjadi punca kepada trauma dan kehilangan nyawa insan yang sepatutnya mereka lindungi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

