Perkasa usahawan luar bandar Malaysia melalui e-dagang

MUSTAPA
MUSTAPA
A
A
A

Perniagaan besar memacu keluaran dalam negara kasar (KDNK) manakala perusahaan kecil menjana pe kerjaan. Itu adalah antara asas yang mempengaruhi dasar ekonomi dan perniagaan di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.

Selain itu, dasar itu sering tertumpu kepada bandar besar memandangkan kepadatan penduduk.

Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya pasca Covid 19, infrastruktur digital dan teknologi telah menjadi pemangkin penyamarataan, khususnya perniagaan di bandar sekunder dan luar bandar.

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, pelbagai cabaran dihadapi oleh komuniti luar bandar dan bandar sekunder di Malaysia.

Beliau berkata, komuniti di kawasan luar bandar berdepan cabaran peluang ekonomi terhad dan menjadi punca penghijrahan mereka ke bandar besar untuk mencari rezeki sekali gus menjadikan beberapa pekan kecil semakin ‘lengang’.

“Akses digital yang terhad pula mengehadkan keupayaan mereka untuk mengakses platform dan sumber dalam talian (online). Bilangan perniagaan luar bandar yang tidak berdaftar masih rendah telah menyukarkan akses kepada bantuan kerajaan, geran atau pinjaman perniagaan.

“Untuk mengatasi cabaran ini, kita perlukan dasar strategik dan penyelesaian inovatif yang memanfaatkan teknologi. Berdasarkan peranan teknologi dalam memacu pertumbuhan ekonomi sedia ada, saya percaya keusahawanan digital dan e-dagang boleh memacu perubahan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, usahawan luar bandar boleh memasarkan produk mereka ke seluruh Malaysia, malah ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Negara Sea Ltd Malaysia, Terence Siau menegaskan bahawa e-dagang membantu usahawan luar bandar membina perniagaan dalam komuniti mereka.

Artikel Berkaitan:

“Ia bukan sahaja memberi akses kepada pasaran yang lebih besar tetapi juga menyediakan platform untuk mereka bersaing dengan lebih mudah dari mana sahaja. Ia mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi tempatan.

“Di Sea Ltd, kami bekerjasama dengan kerajaan melalui anak syarikat kami, Shopee untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) luar bandar mempelajari kemahiran digital bagi menyokong perniagaan mereka di Shopee,” katanya.

Contohnya, Shopee University memberikan latihan percuma mengenai cara meningkatkan prestasi kedai, strategi pengiklanan dan interaksi pelanggan.

“Kami juga kongsikan data pasaran dan amalan terbaik supaya mereka tahu apa yang berkesan dan boleh mengikuti strategi yang betul untuk berkembang maju,” katanya.

Merapatkan jurang digital

Mengulas lanjut, Terence berkata, e-dagang memberikan peluang kepada wanita luar bandar untuk menjana pendapatan dari rumah, khususnya bagi mereka yang menghadapi kekangan mobiliti.

TERENCE
TERENCE

Menurutnya, sebanyak 92 peratus (%) isi rumah kawasan bandar mempunyai akses internet, berbanding 68% di luar bandar.

“Lebih membimbangkan, hanya 58% wanita luar bandar mempunyai akses internet, jauh lebih rendah berbanding 84% di bandar.

“Kami bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan untuk membantu wanita luar bandar, termasuk dalam aspek literasi digital dan akses kepada modal.

“Contohnya, program PUPUK@ Shopee bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan bimbingan secara berperingkat kepada usahawan mikro dan membekalkan mereka dengan keyakinan untuk mengadaptasi ke platform digital,” katanya.

Beliau berkata, Shopee telah memperkasakan ramai usahawan wanita antaranya Bella Hazaha yang menggunakan Shopee Live untuk mentransformasi industri pakaian tidur dengan menawarkan pilihan yang lebih trendy dan mematuhi syariah.

“Disebabkan kepakarannya dalam livestreaming, Bella menjual lebih daripada 1,000 pasang baju tidur setiap hari, dan menjadi antara penjual terbaik Shopee,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, usahawan wanita luar bandar berpotensi besar.

“Kita perlu mewujudkan ekosistem inklusif dan mampan, sejajar dengan agenda Pembangunan Malaysia, khususnya dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun, yang menekankan insklusiviti gender dan pembangunan saksama, terutama di kawasan kurang membangun,” kata Mustapa.

Halangan tradisional

Menurut Mustapa, kewujudan bank digital telah menghapuskan halangan tradisional dalam mendapatkan pembiayaan seperti kekangan dokumentasi dan jarak fizikal ke cawangan bank.

Menurut satu laporan, hanya 39% rakyat Malaysia mempunyai akses kepada pinjaman bank dan 55% dewasa masih tidak cukup akses kepada perbankan.

“Bank digital penting kerana proses permohonan lebih mudah, tiada dokumen yang terlalu rumit dan semuanya boleh dibuat secara online.

“Bank ini yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia perlu lebih agresif menyantuni PKS luar bandar,” katanya.

Bagi Terence pula, teknologi telah memudahkan segalanya dari permohonan pinjaman ke semakan kelayakan dan pengurusan pembayaran balik, semuanya secara online sekali gus tidak perlu lagi berjalan jauh ke cawangan bank dan beratur panjang.

Mampu bersaing dalam ekonomi digital

Menurut Mustapa, pelbagai usaha telah dijalankan untuk meningkatkan keupayaan usahawan di luar bandar yang dilihat mempunyai potensi besar.

Antaranya di Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) melalui program seperti Empower, ribuan usahawan telah dilatih untuk celik digital.

Contohnya, kerajaan telah menubuhkan 11 Pusat Internet di Jeli dan terdapat kira-kira 1,000 pusat seumpamanya di seluruh negara.

“Ledakan perniagaan online sejak pandemik Covid -19 membuktikan masyarakat luar bandar mampu bersaing dalam ekonomi digital jika diberi peluang.

“Ketika saya di Jabatan Perdana Menteri, diantara tugas saya ialah memacu agenda digital melalui MyDIGITAL Corp,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama kerajaan dan pihak swasta penting dalam pembangunan usahawan luar bandar.

“Di Jeli sahaja, terdapat sekurangkurangnya 30 usahawan online yang aktif dalam pelbagai bidang dari makanan hingga tekstil. Mereka mencatatkan jualan bulanan antara RM10,000 hingga RM500,000 dan sekurang-kurangnya dua daripada mereka mempunyai lebih 50 pekerja.

“Saya pernah membawa Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Shopee, Telekom Malaysia, dan Microsoft ke Jeli khusus untuk menjalankan program peningkatan kemahiran digital,” katanya.

Mustapa berkata, rangkaian usahawan luar bandar semakin besar dan penting, mereka belajar antara satu sama lain.

“Atas sebab ini, saya telah menggalakkan penubuhan Kumpulan Usahawan Dalam Talian Jeli, yang kini mempunyai hampir 200 ahli. Melalui kumpulan WhatsApp, mereka berkongsi pengalaman dan saling menyokong antara sata sama lain.

“Saya berbangga melihat pencapaian mereka, hasil sinergi antara inisiatif kerajaan dan sektor swasta seperti Sea Ltd dalam memperkasa kemahiran digital dan pemasaran mereka,” katanya.

Sementara itu, Terence berkata, Sea Ltd sentiasa menyokong inisiatif kerajaan kerana majoriti penjual Shopee adalah PKS.

Contohnya, Batik Cantik, bermula di Kuala Terengganu pada tahun 2022 dengan menjual selendang dan tudung reka bentuk sendiri melalui satu pesanan sahaja sehari.

“Dengan memanfaatkan pasaran Shopee, mereka kini menerima lebih 100 pesanan sehari, bukti keupayaan usahawan luar bandar untuk berkembang melalui platform kami,” kata Terence.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!