[VIDEO] Ubah suai lori seludup lembu korban

A
A
A

IPOH - Taktik licik sindiket menyeludup lembu menggunakan lori bonded terbongkar apabila kenderaan itu dikesan mengalami pengubahsuaian luar biasa sebelum ditahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak dalam Op Mega Korban pada Selasa.

Dalam operasi sekitar jam 10 pagi itu, sepasukan anggota penguat kuasa bertindak mengekori lori terbabit sejauh 40 kilometer dari Hentian Titiwangsa sebelum menahannya berhampiran Tugu Peringatan Pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Saifullizam Abd Kadir berkata, pemeriksaan terhadap lori menemui 12 ekor lembu kebanyakan lembu jantan, dipercayai untuk tujuan ibadah korban yang dibawa tanpa sebarang dokumen pemindahan sah.

"Modus operandi sindiket ini cukup halus. Mereka menggunakan bonded truck yang biasanya digunakan untuk penghantaran barang sejuk beku, tetapi lori ini telah diubah suai, ada lubang udara, tiada sistem kawalan suhu seperti biasa.

"Perkara itu menimbulkan kecurigaan dan hasilnya, kita berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk ternakan ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Salfullizam (dua dari kiri) membuat pemeriksaan ke atas lori yang membawa 12 ekor lembu tanpa sebarang dokumen pemindahan sah dipercayai untuk tujuan ibadah korban.
Salfullizam (dua dari kiri) membuat pemeriksaan ke atas lori yang membawa 12 ekor lembu tanpa sebarang dokumen pemindahan sah dipercayai untuk tujuan ibadah korban.

Menurut Saifullizam, siasatan awal tidak menolak kemungkinan kesemua lembu tersebut dibawa masuk secara haram dari Kelantan untuk diedarkan di sekitar negeri ini.

Tambahnya, keadaan fizikal lembu juga mengundang kebimbangan apabila ternakan itu didapati dalam keadaan lemah dan kurus, dipercayai akibat perjalanan jauh tanpa makanan dan air yang mencukupi.

"Kita tengok permukaan atas lori pun kering. Kemungkinan besar ternakan ini telah dipuasakan sebelum dipindahkan. Ini taktik biasa dilakukan sindiket untuk elakkan najis atau bau, tetapi ia menyebabkan tekanan kepada haiwan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan lakukan pemeriksaan lebih lanjut terhadap haiwan-haiwan ini termasuk mengambil sampel untuk dihantar ke makmal," katanya.

Beliau berkata, pemandu lori, lelaki berusia lingkungan 50 tahun telah ditahan, manakala lembu serta kenderaan terlibat dengan nilai lebih RM120,000 dirampas bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 361 Akta Binatang 1953.

"Kita komited melakukan penguatkuasaan bagi mengelak sebarang penularan penyakit berjangkit yang disebabkan kemasukan haram ternakan ke negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Saifullizam berkata, sejak Januari hingga awal Jun tahun ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak telah merekodkan 27 kes penyeludupan atau pemindahan ternakan tanpa permit sah dengan nilai rampasan melebihi RM460,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!