Pegawai kanan polis didakwa terima rasuah ubah suai rumah, deposit motosikal berkuasa tinggi

Seorang pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dua pertuduhan menerima rasuah melibatkan kerja ubah suai rumah dan deposit pembelian motosikal berkuasa tinggi. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Seorang pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dua pertuduhan menerima rasuah melibatkan kerja ubah suai rumah dan deposit pembelian motosikal berkuasa tinggi. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dua pertuduhan menerima rasuah melibatkan kerja ubah suai rumah dan deposit pembelian motosikal berkuasa tinggi berjumlah RM13,500 semasa bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang pada tahun 2018.

Tertuduh, Asisten Suprintenden Mohd Firdaus Mohamad, 40, yang kini bertugas di Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam Dalam Negeri, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa menerima bayaran pengubahsuaian rumah bernilai RM9,000 secara percuma tanpa sebarang balasan daripada seorang kontraktor berusia 38 tahun di Kampung Pak Elong Telong, Bachok, antara Januari hingga Jun 2018.

Pertuduhan kedua pula melibatkan penerimaan wang berjumlah RM4,500 sebagai bayaran pendahuluan bagi pembelian motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Versys, yang diterima daripada individu sama di IPD Machang pada Januari 2018.

Mohd Firdaus (kiri) dikawal anggota SPRM semasa tiba di Mahkamah Kota Bharu pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Firdaus (kiri) dikawal anggota SPRM semasa tiba di Mahkamah Kota Bharu pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob, manakala tertuduh diwakili peguam Azura Ghazali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Syarat tambahan turut dikenakan, iaitu tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM antara 1 hingga 5 haribulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!