Senyum dibuat-buat, hidup cukup-cukup

“AKHIR bulan bukan mudah tetapi kita tetap gagahkan diri. Kad kredit, ShopeePay, semuanya jadi alat bantuan pernafasan. Kadang makan cukup-cukup, kadang senyum pun dibuat-buat."
Petikan ini tidak datang daripada mana-mana laporan rasmi atau ucapan menteri. Ia adalah suara hati yang dikongsikan Public Health Malaysia di laman Facebooknya, mencerminkan satu naratif jujur yang mewakili jutaan rakyat Malaysia hari ini yang berjuang untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan tekanan ekonomi yang semakin menghimpit.
Di sebalik statistik makroekonomi yang menunjukkan pertumbuhan dan pelaburan meningkat, realiti kehidupan di bawah adalah sangat berbeza.
Rakyat biasa, penjawat awam, pekerja kilang, peniaga kecil, eksekutif muda, malah pesara, semuanya sedang ‘bertahan’, bukannya ‘hidup selesa’.
Bertahan itu pun dengan sokongan pelbagai alat bantuan kewangan mikro: kad kredit, e-dompet, bayar kemudian (paylater) dan pinjaman segera.
Ramai dalam kalangan rakyat hari ini hidup ‘cukup-cukup’, gaji yang masuk awal bulan hanya cukup menampung keperluan asas selama dua hingga tiga minggu pertama. Ada bulan yang tak sempat sampai 25 hari bulan pun, baki dalam akaun sudah pun kosong.
Makanan dihadkan pada yang paling asas. Sumber protein dikurangkan. Pembelian ditangguh kecuali yang benar-benar penting. Malah kesihatan juga ditunda jika tidak mendesak.
Situasi ini mewujudkan satu bentuk tekanan psikologi yang senyap, namun menjerut. Ia melahirkan rakyat yang senyumannya dibuat-buat, bukan kerana bahagia tetapi kerana mahu terus kuat untuk keluarga dan tanggungjawab.
Penggunaan kad kredit dan dompet digital seperti ShopeePay serta Skim Bayar Kemudian (BNPL) telah menjadi fenomena besar. Ia bukan lagi dilihat sebagai alat gaya hidup, tetapi pelampung kecemasan bagi yang sesak menjelang hujung bulan.
Rakyat memanfaatkannya bukan untuk bermegah dan bermewah tetapi sekadar cukup untuk barang dapur, minyak masak, susu anak, tambang pengangkutan dan bayaran bil. Ini semua keperluan asas, bukan kehendak.
Bagaimanapun, pelampung ini bersifat sementara. Ia bukan penyelesaian melainkan sekadar ruang untuk menarik nafas buat seketika. Jika tidak dikawal, boleh membawa kepada krisis hutang isi rumah yang lebih parah.
Kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan beberapa bentuk bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), eBelia dan pelbagai subsidi bersasar.
Namun hakikatnya, langkah-langkah ini bersifat jangka pendek dan belum cukup menangani masalah akar iaitu pendapatan yang tidak selari dengan kos hidup sebenar.
Dalam hal ini, isu pokok bukan sekadar tentang tabiat perbelanjaan, tetapi jurang yang semakin luas antara pendapatan dan perbelanjaan harian.
Gaji minimum RM1,700, malah gaji purata sekitar RM2,500 hingga RM3,000 di bandar besar tidak lagi mampu menampung kos hidup sebenar terutamanya apabila sewa rumah, kos pengangkutan, makanan dan utiliti terus melonjak dari tahun ke tahun.
Malangnya, kenaikan gaji terutama sektor swasta sangat perlahan, manakala peluang menjana pendapatan tambahan juga semakin terhad berikutan persaingan dan kos masa yang tinggi.
Apa yang tidak dilaporkan dalam data rasmi adalah ketabahan luar biasa rakyat Malaysia yang terus bertahan. Mereka bekerja lebih masa. Buat part time malam. Berniaga kecil-kecilan dari rumah.
Ini semua kisah survival harian, satu bentuk daya tahan yang tidak tercatat dalam mana-mana laporan ekonomi, tetapi menjadi nadi sebenar kepada kestabilan sosial negara.
Isu kos sara hidup bukan boleh diselesaikan dengan satu dasar atau satu bantuan semata-mata. Ia memerlukan pendekatan menyeluruh mencakupi struktur gaji yang lebih adil, kawalan harga barang asas, subsidi bersasar yang benar-benar sampai kepada yang memerlukan serta mekanisme perlindungan sosial yang kukuh.
Normawati Adnan ialah Wartawan Sinar Harian Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

