Tindakan MFL diharap tidak makan diri sendiri

MFL: FOTO SINAR HARIAN: GAMBAR KECIL: PEKAN
MFL: FOTO SINAR HARIAN: GAMBAR KECIL: PEKAN
A
A
A

KEPUTUSAN Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menambah kuota pemain import kepada 15 orang diharap tidak menjadi senjata makan tuan dan memberi kesan negatif terhadap suasana Liga Super yang semakin suram.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, langkah yang diumumkan MFL itu menimbulkan persoalan besar sama ada ia benar-benar dapat mengangkat mutu liga atau hanya menambahkan masalah sedia ada dalam bola sepak tempatan.

“Saya secara peribadi tidak melihat penambahan kuota import ini satu tindakan yang betul. Malah, saya khuatir ia hanya mengundang lebih banyak kritikan dan menjauhkan lagi peminat daripada mengikuti saingan liga tempatan.

“Apa yang lebih membimbangkan, secara peribadi saya melihat keputusan ini seolah-olah lebih mengutamakan kepentingan satu atau dua kelab sahaja, bukan keseluruhan pasukan dalam liga.

"Janganlah dengan keputusan yang dibuat ini, orang kata memakan diri dan makin merosakkan bola sepak kita. Semakin banyak kes gaji tak dibayar dan peminat makin tak datang ke stadium," katanya kepada Sukan Sinar.

Menurut Pekan, langkah MFL itu dilihat kurang tepat lebih-lebih lagi ketika liga masih belum bebas daripada isu asas seperti tunggakan gaji dan pengurusan pasukan yang lemah.

“Kalau liga kita dah stabil, bebas daripada masalah kewangan dan pengurusan, bolehlah kita fikir untuk ‘naik tahap’ dengan menambah pemain import. Tapi sekarang, masalah asas pun masih membelenggu banyak pasukan,” ujarnya.

Sebelum ini, MFL menaikkan kuota import pasukan Liga Super kepada 15 pemain bertujuan antaranya membantu kelab yang akan bersaing di kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Liga Juara-Juara Asia (ACL2) dan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara. (ACC)

Untuk rekod, musim depan akan menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) beraksi dalam ACLE manakala Selangor FC pula dalam ACL2 dan kedua-dua pasukan itu turut layak ke ACC selepas AFF mengubah format kejohanan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun alasan untuk bersaing di peringkat Asia boleh diterima, namun ia tidak boleh dijadikan sebab utama untuk membuka seluas-luasnya pintu kepada pemain import.

“Kita faham niat nak bantu kelab bersaing di peringkat Asia. Negara lain pun guna ramai import. Tapi tak boleh fikir untuk satu dua kelab sahaja. Kena lihat keseluruhan ekosistem liga.

"Saya juga kurang senang dengan kenyataan MFL yang menyatakan bahawa pasukan yang tidak mampu tidak perlu mendaftar ramai pemain import.

“Adakah MFL benar-benar faham maksud ‘fair play’ yang diperkenalkan FIFA? Ia bukan sekadar ikrar di atas padang, tetapi mencakupi prinsip keadilan, kesaksamaan dan semangat berpasukan.

"Ia termasuk bersikap adil kepada semua pasukan di bawah kendalian pentadbir liga," katanya.

Beliau juga menekankan keperluan merapatkan jurang antara pasukan kuat dan lemah dalam liga tempatan.

“Kita perlu melihat semula kepada asas pembangunan liga. Kalau jurang terlalu besar antara pasukan tugas adalah untuk merapatkan jurang itu, bukan menjadikan ia semakin jauh.

“Adakah ini satu keputusan yang praktikal dan memikirkan kepentingan bersama? Kita seharusnya bergerak bersama ke hadapan, bukan meninggalkan pasukan lain di belakang.

"Memang mustahil untuk mencapai kesamarataan sepenuhnya, namun pendekatan yang lebih inklusif dan seimbang amat diperlukan dalam membuat sebarang pembaharuan dalam liga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!